Jadi ‘hamba’ hutang seawal usia 19 tahun

Oleh – Syeikh Baran


Jadi 'hamba' hutang seawal usia 19 tahun
GAMBAR HIASAN

Semakin ramai anak muda berusia seawal 19 tahun dikesan menjadi ‘hamba’ hutang dengan kebanyakan mereka mula terbeban apabila melakukan pembiayaan motosikal melalui agensi kredit.

Seterusnya, ia semakin menjerat kehidupan apabila mereka memasuki alam perkahwinan, meningkatnya jumlah anak atau tanggungan ahli keluarga sehingga menuju era persaraan.



Perkara ini didedahkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) apabila ada belia seawal usia 19 tahun tampil untuk membuat penstrukturan semula hutang mereka akibat terbeban dengan masalah itu.

Ketua Cawangan AKPK Kuala Lumpur, Mohd Nordin Abd Rahman, berkata kebiasaannya anak muda mula terjerat dengan masalah hutang apabila membuat pembiayaan motosikal melalui institusi kredit dengan purata pembiayaan kira-kira RM5,000 bagi tempoh lima tahun.

Namun, katanya, disebabkan kegagalan membayar ansuran mengikut terma dan syarat pemberi kredit, mereka akhirnya memilih untuk melakukan penstrukturan semula hutang melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) AKPK.

“Kebanyakan masalah timbul apabila anak muda mencipta sejarah kredit melalui pinjaman membeli motosikal seawal mula berkerja.



“Dengan sumber pendapatan semasa, mereka terdedah pula dengan komitmen pinjaman lain yang ditawarkan institusi penyedia kredit. Akibat kurang pendedahan ilmu pengurusan kewangan, mereka mudah terjebak dengan masalah hutang yang melebihi pendapatan,” katanya kepada BH.

Mohd Nordin berkata, statistik menunjukkan kategori usia paling ramai mendaftar PPK ialah dalam kalangan peminjam yang berumur antara 30 hingga 40 tahun iaitu seramai 176,755 atau 42 peratus; 40 hingga 50 tahun (118,885 atau 28 peratus).

“Seramai 55,088 peserta babitkan golongan berusia 20 hingga 30 tahun (13 peratus); 50 hingga 60 tahun (53,411 atau 13 peratus) dan 60 tahun ke atas (15,471 atau 4 peratus),” katanya.

Faktor kos sara hidup



Mohd Nordin juga menjelaskan, faktor kos sara hidup menjadi penyumbang utama kepada peratusan tertinggi iaitu 41 peratus daripada keseluruhan peserta tampil dan berjaya dibantu oleh AKPK.

“Faktor kedua ialah perancangan kewangan yang lemah mewakili 35 peratus dan kegagalan atau kelembapan perniagaan (11 peratus).

“Kehilangan pekerjaan dan kematian pencari nafkah sebanyak sembilan peratus dan kos perubatan yang tinggi (empat peratus),” katanya.

Beliau berkata, perjalanan dan status kewangan anak muda biasanya bergerak aktif apabila mereka memasuki alam pekerjaan, seterusnya perkahwinan, meningkatnya jumlah ahli keluarga dengan mempunyai anak sehingga era menuju persaraan.



Katanya, kurang pendedahan ilmu kewangan ditambah perbelanjaan melebihi pendapatan menjadikan masalah keberhutangan di luar kawalan mereka.

Pada masa sama, Mohd Nordin berkata, kad kredit antara kemudahan atau fasiliti kredit utama yang distrukturkan di bawah PPK iaitu 54 peratus daripada keseluruhan peserta.

Tambah beliau, pola pembiayaan secara bertindih (overlap) juga antara punca peminjam makin terbeban dengan hutang kerana menyebabkan lebih tinggi bayaran perlu dibuat kepada pemberi pembiayaan, selain terbeban dengan tempoh lebih panjang.

Selain itu, beliau berkata, masalah hutang bukan sahaja datang daripada mereka yang berpendapatan sederhana, malah yang bergaji lebih RM120,000 setahun.



“Jika mereka yang bergaji besar, dengan had kredit setinggi RM100,000 dan mungkin perlu membayar RM2,000 sebulan.

“Ia sekali gus menjejaskan pendapatan mereka, jadi mereka ke AKPK bagi mengurangkan komitmen bulanan,” katanya.

Sejak penubuhan AKPK pada 2006, lebih 1.3 juta individu menghadiri sesi khidmat nasihat bersama AKPK dan daripada jumlah itu, kira-kira 450,000 peserta memohon menyertai PPK.

Setakat ini, kira-kira 53,000 kes hutang berjaya diselesaikan membabitkan nilai tunggakan sekitar RM2.9 bilion.



Beliau mengingatkan orang ramai tidak mudah terpedaya dengan pihak yang mengaku ejen pihak ketiga AKPK dan mengenakan bayaran kerana perkhidmatan disediakan agensi itu adalah percuma.

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button