Akauntan, pesara pensyarah ditipu RM6.4 juta

Oleh – Syeikh Baran


Akauntan, pesara pensyarah ditipu RM6.4 juta
GAMBAR HIASAN

Akauntan dan bekas pensyarah kerugian lebih RM6.4 juta selepas masing-masing menjadi mangsa penipuan dalam talian dan mata wang kripto minggu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan selepas Bahagian Jenayah Kormesial IPK Selangor menerima aduan berkaitan membabitkan jumlah keseluruhan kerugian didakwa RM6,479,574.42.



Menurutnya, kes pertama membabitkan mangsa wanita berusia 61 tahun yang juga pesara pensyarah sebuah universiti awam tempatan dengan kerugian RM1,433,774.42 juta akibat penipuan dalam talian (phone scam).

“Dalam kes ini, suspek menghubungi mangsa melalui telefon dan menyamar sebagai Pegawai National Scam Response Centre (NSRC) dan mengatakan mangsa ada menjalankan aktiviti perjudian dan pengubahan wang haram.

“Mangsa menafikan perkara itu dan panggilan kononnya disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di mana ‘pegawai polis’ dihubungi mengarahkan mangsa membuat laporan polis.

“Selain itu mangsa diarahkan mengumpulkan semua wang simpanan yang ada dan juga menggadai barang kemas untuk dimasukkan ke dalam dua akaun bank milik mangsa bagi tujuan siasatan,” katanya.



Hussein berkata, mangsa kemudian diarahkan meletakkan kedua-dua kad ATM bank itu di tepi jalan untuk diambil oleh suspek.

“Mangsa yang takut dan terpedaya mengikut semua arahan suspek. Mangsa sedar ditipu apabila membuat semakan dengan pihak bank dan mendapati sebanyak 262 kali transaksi wang berjumlah RM1,433,774.42 dikeluarkan oleh suspek dari kedua-dua akaun bank milik mangsa itu,” katanya.

Kes kedua pula membabitkan mangsa seorang akauntan lelaki yang terpedaya dengan penipuan dalam talian mata wang kripto dengan kerugian berjumlah RM5,045,800 juta.

“Pada Ogos 2023, mangsa berkenalan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘William’ melalui aplikasi Whatssap, suspek menawarkan mangsa menyertai pelaburan Crpytocurrency dengan menawarkan keuntungan berlipat kali ganda dalam tempoh singkat.



“Mangsa yang tidak mahir dengan pelaburan itu berminat dan bersetuju untuk melabur dan ditunjuk ajar oleh suspek untuk mendaftar dan memindahkan wang ke dalam tiga akaun E-wallet yang diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia.

“Mangsa kemudian diarahkan pula memindahkan wang kripto itu ke beberapa akaun E-wallet lain yang diberikan suspek bagi tujuan pelaburan,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan mangsa telah melakukan 143 kali pindahan wang dari akaun E-wallet mangsa ke beberapa akaun E-wallet lain sehingga berjumlah RM5,045,800 juta.

“Suspek mengarahkan mangsa sendiri memantau pergerakan wang dan keuntungan pelaburan melalui satu akaun E-wallet yang diberikan oleh suspek.



“Mangsa dapat melihat keuntungan pelaburan beliau sehingga mencecah RM7 juta tetapi apabila hendak mengambilnya suspek memberikan pelbagai alasan malah meminta mangsa membayar pelbagai bayaran lain bagi urusan mengeluarkan keuntungan itu.

“Mangsa menyedari ditipu setelah akaun pelaburan itu tidak dapat diakses dan suspek tidak dapat dihubungi lagi,” katanya.

Dalam kes ‘phone scam’ polis dan jabatan kerajaan tidak menjalankan siasatan membabitkan hal perbankan orang awam secara dalam talian.

“Rahsia perbankan dan kad ATM adalah milik peribadi dan jangan sesekali diserahkan kepada orang yang tidak dikenali.



“Orang ramai yang menerima panggilan dari orang yang tidak dikenali perlu berkongsi pendapat dengan anak-anak, keluarga, saudara-mara, sahabat dan pihak berkuasa untuk mendapatkan pandangan,” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading