Liverpool sudah hubungi Xabi Alonso

Oleh – Syeikh Baran


Liverpool sudah hubungi Xabi Alonso
ALONSO berada dalam senarai teratas calon yang bakal menggantikan Klopp sebagai pengurus baharu Liverpool. – AFP

Liverpool dilaporkan sudah menghubungi Jurulatih Bayer Leverkusen, Xabi Alonso untuk melihat potensi dan minat beliau bagi mengambil alih tanggungjawab sebagai pengurus baharu pasukan itu.

Laporan menyebut bahawa bekas pemain The Reds itu berada dalam senarai teratas senarai pendek calon pengganti Jurgen Klopp yang bakal mengakhiri kariernya di Anfield pada hujung musim ini.



Kecemerlangan Alonso yang berjaya mengemudi Leverkusen menguasai takhta Bundesliga dengan meraih 16 kemenangan dalam 20 perlawanan tanpa kalah setakat musim ini menyebabkan kepakarannya diburu Liverpool.

Portal bola sepak dari Perancis, Foot Mercato mendakwa bahawa sudah wujudnya rundingan melibatkan Alonso dan Liverpool mengenai jawatan tersebut di Anfield, namun masih belum ada kata putus diperoleh setakat ini.

Alonso sebelum ini cuba mengelak daripada terperangkap dengan soalan-soalan yang mengaitkan dirinya dengan jawatan baharu di Liverpool sebaliknya mengakui hanya mahu memberikan fokus terhadap Leverkusen.

“Saya sangat menghormati Jurgen dan Liverpool. Buat masa ini saya sangat gembira dan sedang menikmati tugas ketika ini. Setiap hari dan perlawanan yang dilalui adalah mencabar buat Leverkusen.



“Spekulasi adalah perkara normal. Saya masih bermotivasi dengan tugas yang saya galas ketika ini. Saya gembira dengan pasukan dan kelab ini buat masa sekarang,” katanya.

Laporan turut menyebut bahawa kontrak Alonso di Leverkusen mempunyai klausa pelepasan dan Liverpool boleh membayar sejumlah nilai untuk mendapatkan pengendali dari Sepanyol itu.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Leverkusen, Fernando Carro, namun beliau mengakui bimbang kehilangan Alonso sekiranya Liverpool benar-benar mengemukakan tawaran yang lebih baik. – AGENSI

Sumber – KOSMO! ONLINE




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading