Polis bantu banteras ketirisan barang subsidi

Oleh – Syeikh Baran


Polis bantu banteras ketirisan barang subsidi
Armizan dan Nancy pada Program Jualan Rahmah di Kuching, hari ini. – Foto BH/NADIM BOKHARI

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendapat kerjasama penuh daripada polis bagi membentuk pasukan petugas khas untuk meningkatkan usaha membanteras ketirisan barang bersubsidi.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memainkan peranan utama membantu KPDN memperhebat Op Tiris.



Beliau berkata, tahun ini Op Tiris bukan sahaja tertumpu kepada minyak diesel malah diperluas kepada barang kawalan lain seperti petrol RON 95, minyak masak peket satu kilogram, gas petroleum cecair (LPG) dan gula bertapis.

Menurutnya, Op Tiris sebelum ini terbukti berkesan dengan 6.4 juta liter diesel yang diseleweng dengan nilai RM14.2 juta dirampas tahun lalu.

“Kejayaan itu hasil 15,927 pemeriksaan membabitkan 877 kes termasuk 386 kes serahan agensi lain.

“Untuk tahun ini, KPDN terus menjalin kerjasama dengan PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memperhebat lagi Op Tiris yang memberi tumpuan untuk membanteras penyelewengan barang bersubsidi, khususnya minyak diesel,” katanya.



Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Jualan Rahmah Parlimen Santubong di Samariang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Nancy Shukri.

Armizan dalam lawatan kerja ke Sarawak turut bertemu Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi bagi membincangkan pengedaran gas asli dan LPG.

Katanya, sejak 1 Jun 2021 kerajaan Sarawak mengawal selia sepenuhnya pengedaran gas di Sarawak selepas Ordinan Pengedaran Gas 2016 dikuat kuasa.



“Bermula 1 Jun 2016 itu, peranan KPDN berhubung kawal selia gas dan LPG diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan Sarawak, namun KPDN komited untuk memberi kerjasama dalam aspek latihandan advokasi dalam proses MUT meningkatkan kapasiti dan mekanisme penguatkuasaan bagi menangani ketirisan gas dan KPDN juga sedia untuk terbabit dalam operasi bersepadu bagi membanteras penyelewengan,” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading