Remaja perempuan maut dalam nahas tiga kenderaan

Oleh – Syeikh Baran


Remaja perempuan maut dalam nahas tiga kenderaan
Kereta Perodua Alza yang dinaiki remaja perempuan yang maut dalam kemalangan dengan sebuah lori dan sebuah motosikal di Kilometer 51.9 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, hari ini. – Foto PDRM

Perjalanan dua beranak sempena sambutan Tahun Baru Cina berakhir dengan tragedi apabila seorang daripadanya maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 51.9 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, hari ini.

Dalam kemalangan jam 5.40 pagi itu, remaja perempuan berusia 16 tahun maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala selepas kereta Perodua Alza yang dinaiki bersama ibu dan lelaki yang juga rakan ibunya terbabit dalam kemalangan dengan lori jenis Hino dan sebuah motosikal Yamaha 135LC.



Bagaimanapun ibunya yang berusia 43 tahun cedera di kaki manakala lelaki yang berusia 50-an pula tidak cedera.

Difahamkan, ibu mangsa memandu kereta itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur untuk menyambut Tahun Baru Cina di Thailand.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada jam 5.40 pagi.

Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan kereta, motosikal dan sebuah lori.



“Sebelum kejadian, kereta Perodua Alza yang dinaiki mangsa berada di lorong kanan dan dikatakan terbabas ke kiri dan melanggar bahagian belakang kanan lori yang berada di lorong kiri.

“Beberapa minit kemudian, sebuah motosikal yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak dan melanggar serpihan kenderaan berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Shukri, mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan tersepit dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.



“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading