Kekasih bunuh anak artis

Oleh – Syeikh Baran


Kekasih bunuh anak artis
KEMATIAN anak pelakon Tamara Tyasmara iaitu Dante akhirnya terjawab apabila dibunuh kekasihnya sendiri dikenali sebagai Yudha Arfandi.

Pelakon Indonesia, Tamara Tyasmara hanya mampu menangis selepas tidak menyangka individu yang menyebabkan kematian anaknya, Dante pada 27 Januari lalu, adalah kekasihnya sendiri yang dikenali sebagai Yudha Arfandi.

Perkara itu terbongkar selepas pihak polis menjalankan siasatan dengan meneliti kamera keselamatan, CCTV di lokasi kolam renang yang menjadi tempat kanak-kanak berusia 6 tahun itu ditemui mati.

Memetik laporan berita tempatan, detik.com, Ketua Polis Metro Jaya, Jakarta Selatan, Wira Satya Triputri dalam kenyataannya memberitahu, hasil penelitian pada rakaman CCTV berdurasi selama dua jam, satu minit itu, telah membuktikan bahawa Yudha adalah suspek utama terhadap pembunuhan tersebut.



“Hasil penelitian pada rakaman CCTV di lokasi mangsa ditemui mati menunjukkan, suspek utama kepada pembunuhan tersebut adalah Yudha Arfandi.

“Kami telah pun menahan suspek untuk membantu siasatan,” ujar Wira.

Katanya lagi, rakaman CCTV menunjukkan Yudha telah membenam mangsa sebanyak 12 kali di dalam kolam renang, sebelum kanak-kanak malang itu ditemui meninggal dunia di Taman Air Turtamas Pondok Kelapa, Jakarta Timur pada 27 Januari lalu.

“Rakaman CCTV menunjukkan suspek turut berada di lokasi kejadian dan telah membenam mangsa sebanyak 12 kali di kolam renang sehingga meninggal dunia,” katanya.



Sementara itu, Tamara, 29, bersyukur apabila pelaku yang menyebabkan kematian anaknya telah ditangkap polis, walaupun tidak menyangka individu yang telah membunuh anaknya itu adalah kekasihnya sendiri.

“Alhamdulillah. Sekarang pelaku sudah ditangkap,” katanya ringkas sewaktu ditemui media di balai polis Metro Jaya, Jakarta Selatan.

Biarpun sedih, pelakon yang pernah membintangi filem Petak Umpet Minako itu lega apabila dengan tertangkapnya suspek, sedikit sebanyak telah menjawab tuduhan netizen yang mengatakan dia tidak ambil tahu dengan kematian anaknya.

“Walaupun saya sedih, sekurang-kurangnya telah terjawab punca yang menyebabkan kematian anak saya.

“Orang ramai menuduh saya hanya berdiam diri dalam kes kematian Dante. Saya diam, bukan bererti saya tidak ambil peduli,” katanya sambil menyeka air mata.

Pada 6 Februari lalu, kubur Dante terpaksa digali semula selepas pihak polis mendapati terdapat unsur jenayah yang menjadi penyebab kematian kanak-kanak itu.

Dante merupakan anak tunggal Tamara hasil perkahwinan bersama bekas suami, iaitu pemuzik Angger Dimas.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker