Penyelidik mula cari petunjuk ‘long COVID’

Oleh – Syeikh Baran


Penyelidik mula cari petunjuk 'long COVID'
‘Long COVID’ ialah nama yang diberikan kepada pelbagai jenis simptom yang masih dialami individu, beberapa minggu dan bulan selepas mereka mula-mula dijangkiti virus SARS-CoV-2. – Foto AGENSI

Puluhan juta orang di seluruh dunia dipercayai menderita akibat ‘long COVID’, namun empat tahun selepas wabak itu diisytiharkan, keadaan yang sukar difahami ini masih tidak dapat diuji, apatah lagi dirawat.

Bagaimanapun, penyelidikan akhirnya mula mencari petunjuk awal mengenai ‘long COVID’, sekali gus meningkatkan harapan kejayaan pada masa depan, yang mungkin juga memberi petunjuk kepada sindrom kronik lain yang tidak jelas.



‘Long COVID’ ialah nama yang diberikan kepada pelbagai jenis simptom yang masih dialami individu, beberapa minggu dan bulan selepas mereka mula-mula dijangkiti virus SARS-CoV-2.

Simptom yang paling biasa adalah keletihan, sesak nafas, sakit otot dan kabut otak.

Satu kajian ketara yang dikeluarkan bulan lalu menunjukkan terdapat perbezaan jelas dalam protein darah lebih daripada 110 pesakit ‘long COVID’.

Seorang penyelidik Switzerland dan pengarang kanan kajian Science, Onur Boyman memberitahu AFP, beliau percaya ia adalah satu ‘kepingan teka-teki pusat’ dalam apa yang menyebabkan COVID-19 berleluasa begitu lama dalam tubuh sesetengah orang.

Penyelidik berkata, sebahagian sistem imun badan yang dipanggil sistem pelengkap, yang biasanya melawan jangkitan dengan membunuh sel yang dijangkiti, kekal aktif pada individu yang mempunyai ‘long COVID’ dan terus menyerang sasaran yang sihat dan menyebabkan kerosakan tisu.



Boyman berkata, apabila seseorang pulih daripada ‘long COVID’, sistem pelengkap mereka juga bertambah baik, menunjukkan hubungan yang kuat antara keduanya.

“Ia menunjukkan bahawa ‘long COVID’ adalah penyakit dan anda sebenarnya boleh mengukurnya,” kata Boyman dan pasukan itu berharap ia boleh membawa kepada ujian pada masa akan datang.

Penyelidik yang tidak terbabit dalam kajian itu memberi amaran bahawa sistem pelengkap itu yang ‘disregulasi’ tidak dapat menjelaskan semua cara berbeza ‘long COVID’ menyerang pesakit.

Bagaimanapun, adalah ‘baik untuk melihat kajian pada masa ini menunjukkan petunjuk yang mungkin mula menjelaskan ‘long COVID’,” kata profesor penuaan dan kesihatan di King’s College London, Claire Steves. – AFP



Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button