25 kes hilang duit dalam bank angkara ‘scammer’

Oleh – Syeikh Baran


25 kes hilang duit dalam bank angkara 'scammer'
Polis Terengganu menerima 25 laporan melibatkan kehilangan wang di dalam akaun simpanan dari pelbagai institusi kewangan dalam tempoh seminggu bermula 4 Februari hingga 10 Februari lalu. Gambar kecil: Mazli

Polis Terengganu menerima 25 laporan melibatkan kehilangan wang di dalam akaun simpanan dari pelbagai institusi kewangan dalam tempoh seminggu bermula 4 Februari hingga 10 Februari lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, sebanyak 13 laporan diterima di Kuala Terengganu diikuti Besut (6), Dungun (4), serta masing-masing satu laporan bagi daerah Kemaman dan Hulu Terengganu

Menurutnya, mangsa membuat laporan polis setelah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dari institusi kewangan masing-masing menunjukkan berlaku transaksi ke atas akaun mangsa.



“Mangsa disyaki menjadi mangsa phising atau pautan (link) yang mana di dalam pautan tersebut terdapat Android Package File (APK) dalam bentuk malware.

“Selain itu, terdapat juga mangsa yang telah memberikan nombor OTP apabila diminta oleh scammer,” katanya di sini pada Ahad.

Sehubungan itu, katanya, pihak polis menasihati masyarakat supaya tidak menekan apa-apa pautan yang tidak dipastikan kesahihannya terutama yang mempunyai APK tidak sah.

“Apabila dimuat turun melalui sumber yang tidak dikenalpasti berkemungkinan mempunyai malware atau virus yang boleh menyebabkan kehilangan data atau maklumat penting di telefon bimbit.



“Orang ramai juga dinasihati supaya tidak berkongsi butiran terperinci kad ATM, kod pengesahan transaksi (TAC) atau butiran kata laluan sekali (OTP) kepada individu lain,” katanya.

Sebelum ini polis menjelaskan kes kehilangan wang dalam akaun bank membabitkan beberapa individu melibatkan beberapa kawasan di Terengganu disebabkan oleh perbuatan ‘scammer’ atau sindiket penipuan, tiada kaitan dengan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Jelas beliau, siasatan awal mendapati terdapat unsur mangsa tertipu dengan ‘phishing’ atau pemancingan maklumat menerusi akaun institusi kewangan.

Dalam perkembangan sama, laporan statistik dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu merekodkan sebanyak 98 laporan polis diterima melibatkan jenayah tersebut dalam tempoh seminggu berbanding 136 laporan bagi minggu sebelumnya, dengan penurunan sebanyak 38 laporan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 21 kertas siasatan telah dibuka dengan jumlah kerugian sebanyak RM666,577.20.

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker