Johor bakal rombak portfolio Exco

Oleh – Syeikh Baran


Johor bakal rombak portfolio Exco
Onn Hafiz

Kerajaan Johor dijangka merombak semula portfolio Exco negeri dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengesahkan perkara itu dan ia akan diumumkan pada minggu depan.



“Ya akan ada rombakan (barisan Exco) tetapi yang minimum.

“Kita mahu perkasakan urusan kerajaan negeri,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan UMNO Johor pada Ahad.

Hadir sama, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Rombakan portfolio Exco itu merupakan kali pertama sepanjang Onn Hafiz menjawat jawatan Menteri Besar Johor selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac 2022.

Khamis lalu, Onn Hafiz ketika majlis Tahun Baharu Cina di Kediaman Rasmi Menteri Besar bersama masyarakat Tionghoa Johor dalam ucapannya dilaporkan berkata beliau akan mengambil alih portfolio pelancongan.



Ia sekali gus memberi isyarat akan berlaku rombakan portfolio barisan Exco yang sebelum ini sering diperkatakan.

Onn Hafiz sebelum ini memegang portfolio Pelancongan, Belia dan Sukan sebelum mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19 pada 15 Mac 2022.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri kini disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, K Raven Kumar.

Dalam perkembangan berlainan, Onn Hafiz berkata, kerajaan Johor akan membuat kajian lebih teliti berhubung kesan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.



Katanya, kajian itu penting kerana perkara yang diputuskan di Mahkamah Persekutuan pada Jumaat, cukup sensitif.

“Ini melibatkan undang-undang dan saya percaya Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan telah membuat kenyataan dan kita selari dengan apa yang disebutkan.

“Di peringkat kerajaan negeri, kita perlu membuat kerja lebih teliti kerana tidak mahu bercanggah dengan apa yang diputuskan di peringkat persekutuan selain berbeza dengan apa yang diputuskan di peringkat negeri.

“Ini merupakan satu perkara yang sangat sensitif yang perlu dikaji dengan cukup rapi,” katanya.



Sementara itu, Ahmad berkata, UMNO Johor juga mempunyai pandangan yang sama dengan UMNO Pusat untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.

“UMNO tentunya mahu Mahkamah Syariah terus dipertingkatkan dan diperkasakan. Jika perlu ada pindaan perlembagaan-maka kita akan bincangkan di peringkat tertinggi untuk memperkasakan kedudukan Mahkamah Syariah,” katanya.

Mahkamah Persekutuan pada Jumaat mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.



Tengku Maimun dalam penghakiman panel berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 8-1 di mana Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli, membuat keputusan berbeza.

Kedua-dua pempetisyen memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan DUN terbabit bertindak melangkaui bidang kuasanya.

Bagaimanapun panel memutuskan dua lagi peruntukan kesalahan adalah sah.



Sumber – SINAR HARIAN


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading