Liverpool, City terus bersaing

Oleh – Syeikh Baran


Liverpool, City terus bersaing
Darwin Nunez (kiri) meraikan jaringannya ketika menentang Burnley. Foto AFP

LIVERPOOL kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menang ke atas Burnley 3-1 pada Sabtu selepas juara bertahan Manchester City memintas mereka buat seketika di puncak liga.

Skuad Anfield itu sedang memburu kejuaraan EPL pada musim terakhir di bawah kendalian Jurgen Klopp tetapi sekali lagi City terus mengekori mereka.

Liverpool tidak berada pada tahap terbaik menentang Burnley tetapi cukup untuk membolehkan pasukan menang dalam perlawanan yang disebut Klopp sebagai ‘amat sukar’.



City, yang sebelum ini menewaskan Everton 2-0, berada dua mata di belakang Liverpool dengan satu perlawanan dalam tangan ketika mereka memburu gelaran liga utama Inggeris keempat berturut-turut yang belum pernah berlaku sebelum ini.

The Reds mendahului apabila penjaga gol Burnley, James Trafford gagal menampan kemas bola dari sepakan sudut Trent Alexander-Arnold dan Diogo Jota menanduk masuk gol kesembilannya dalam Liga Perdana musim ini.

Tetapi mereka diikat semula sejurus sebelum separuh masa apabila Dara O’Shea menanduk melepasi penjaga gol Liverpool, Caoimhin Kelleher yang menggantikan Alisson Becker kerana kurang sihat.

Liverpool, bermain di hadapan penonton dengan rekod 60,000 penonton selepas pengubahsuaian stadium tampil berbeza dan kembali mendahului apabila Luis Diaz menanduk masuk pada minit ke-52.



Pelawat mempunyai beberapa peluang menarik untuk menyamakan kedudukan sebelum tandukan Darwin Nunez daripada hantaran lintang Harvey Elliott memastikan kemenangan penting.

“Ia bukan sahaja tiga mata,” kata Klopp kepada BBC.

“Anda tidak boleh menjamin momentum sepanjang masa. Sembilan hari lalu kami bermain luar biasa menentang Chelsea kemudian kami tewas kepada Arsenal. Ia sentiasa cabaran yang berbeza.

“Ia benar-benar sukar hari ini tetapi pemain berjaya bertahan dan mendapat tiga mata,” katanya.

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker