Arwah seperti sesak nafas

Oleh – Syeikh Baran

Arwah seperti sesak nafas
Allahyarhamah Zahalita Othman (enam, kiri) bersama rakan pendaki sebelum memulakan pendakian ke Gunung Tahan pada 1 Februari lalu.

“Lepas kami solat subuh, arwah keluar sekejap pergi bersihkan diri sebelum masuk semula ke dalam khemah dan masa itu saya dengar seperti dia sesak nafas.

Demikian kata malim gunung, Nazaruddin Samat, 54, ketika menceritakan detik terakhir sebelum pemergian pendaki wanita, Allahyarhamah Zahalita Othman, 52, yang meninggal dunia akibat sesak nafas di Gunung Reskit, Kuala Tahan, Jerantut, kira-kira pukul 7.30 pagi pada 6 Februari lalu.



Nazaruddin berkata, melihat situasi itu pendaki wanita yang juga rakan arwah dikenali sebagai Anas kemudiannya datang membantu menyapu ubat pada arwah.

“Arwah sempat minum segelas air sebelum berbaring. Tidak lama kemudian Anas maklumkan pada saya yang arwah telah pengsan.

“Saya terus mendekati arwah dan rasa tangannya masih panas. Saya juga maklumkan pada Anas dan seorang lagi pendaki lelaki yang dipanggil Hafiz bahawa kita perlu minta bantuan segera,”katanya ketika ditemui selepas tiba di Taman Negara Relau, Merapoh dekat Lipis, semalam.

Jelas Nazaruddin, dia bersama Hafiz bertindak ke kem Gedung untuk meminta bantuan daripada kumpulan yang berada di hadapan manakala Anas diminta untuk menunggu arwah di Gunung Reskit.



“Kami seramai 10 orang termasuk tiga wanita telah berpecah kepada dua kumpulan, enam pendaki telah bergerak menuju ke Kem Gedung. Manakala saya bersama Zahalita, Anas dan Hafiz berada di kumpulan kedua yang agak lambat.

“Apabila terjadinya situasi seperti ini, saya dan Hafiz perlu minta bantuan segera daripada baki pendaki yang ada di hadapan.

“Sewaktu menuju ke kem Gedung, saya berasa tidak sedap hati sebelum meminta Hafiz meneruskan perjalananan untuk memanggil turun rakan pendaki manakala saya berpatah balik ke Gunung Risket,”ujarnya.

Nazaruddin berkata, ketika sampai semula di Gunung Risket, dia melihat Anas menangis di sisi Zahalita dan memaklumkan rakan baiknya telah meninggal dunia.



Jelasnya, dia kemudian memeriksa nadi Zahalita namun gagal mengesan sebarang denyutan dan untuk lebih kepastian dua orang lagi rakan pendaki datang memeriksa serta mengesahkan pemergian arwah.

Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button