Tindakan pantas bomba selamatkan lebih 100 rumah kayu

Oleh – Syeikh Baran


Tindakan pantas bomba selamatkan lebih 100 rumah kayu
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan bertungkus-lumus memadamkan kebakaran dalam kejadian di Kampung Air Patau-Patau Dua pada malam Sabtu. Foto Bernama

Tindakan pantas dan kecekapan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan mengawal kebakaran berjaya menyelamatkan lebih 100 rumah kayu di Kampung Air Patau-Patau 2 daripada musnah pada malam Sabtu.

Pengarah JBPM Labuan, Abdul Rahman Ali berkata, dalam kebakaran yang berlaku pada 10 malam di kawasan berkepadatan tinggi itu, semua mangsa berjaya diselamatkan dan hanya seorang penduduk dikenali sebagai Khairul Mohamed, 39, mengalami kecederaan ringan di tangan.

“Sejurus menerima panggilan kecemasan, pasukan bomba segera ke tempat kejadian dengan mengerahkan 37 anggota dan tiba beberapa minit kemudian. Dalam kebakaran itu, hanya sebuah rumah musnah terbakar, manakala dua rumah berdekatan hanya sebahagian yang rosak,” katanya kepada Bernama pada Ahad.



Abdul Rahman berkata, tindakan pantas dan usaha memadam kebakaran yang strategik memainkan peranan penting dalam menghalang api daripada merebak ke seluruh perkampungan air itu.

“Walaupun menghadapi cabaran kerana jarak antara rumah amat dekat, anggota bomba berjaya mengawal api menggunakan air laut, air tangki dan alat pemadam kebakaran bagi memastikan kerosakan yang minimum pada struktur berhampiran,” katanya dan menambah punca kebakaran sedang disiasat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abd Rahman yang turut berada di lokasi kejadian berkata, dedikasi dan profesionalisme anggota bomba yang bertungkus lumus mengawal kebakaran mendapat pujian masyarakat setempat. – Bernama

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker