Pemancing terkejut ‘disapa’ mayat terapung

Oleh – Syeikh Baran


Pemancing terkejut 'disapa' mayat terapung
Mayat seorang lelaki yang belum dikenal pasti identitinya ditemui terapung sebelum dibawa ke Jeti Kampung Abdul Rahman, Batu Pahat untuk diserahkan kepada pihak polis.

Seorang lelaki yang sedang memancing terkejut apabila terlihat satu mayat terapung dalam Sungai Simpang Kiri, Parit Kasim Laut, Tongkang Pechah di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, lelaki berkenaan kemudian memaklumkan kejadian tersebut kepada anggota di Balai Polis Tongkang Pechah pada jam 11.30 pagi.

“Mayat tersebut dilihat sedang hanyut ke arah Parit Sulong memandangkan air laut pasang ketika itu.

“Dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram, mayat tersebut kemudiannya dijumpai pada jam 12.40 tengah hari di kawasan Simpang Kiri, Kampung. Parit Mantan lebih kurang dua kilometer dari tempat lelaki berkenaan melihat mayat itu terapung,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, mayat adalah seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an dan semasa ditemui berseluar panjang hitam, memakai t-shirt hijau dan tidak berkasut namun identitinya masih belum dikenal pasti.

Tambah beliau, kes diklasfikasikan sebagai mati mengejut dan pihaknya menyeru jika sesiapa yang ada kehilangan ahli keluarga boleh berhubung dengan Ketua Polis Balai Tokang Pechah menerusi talian 07-4151222.



Sementara itu, Komander Operasi dari BBP Penggaram, Timbalan Penguasa Bomba II Firdaus Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 12.41 tengah hari.

Susulan itu katanya, seramai 14 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua buah Rapid Intervention Motorcycle (RIM), satu kenderaan pacuan empat roda Hilux dan sebuah bot dikejarkan ke tempat kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian pihak bomba menemukan mayat seorang lelaki yang ditemui orang awam sebelum pihak bomba menggunakan sebuah bot fiber untuk mengambil mayat tersebut,” katanya.

Beliau memberitahu, mayat tersebut dibawa ke Jeti Kampung Abdul Rahman sebelum diserahkan kepada pihak polis, operasi tamat pada jam 1.57 tengah hari.

Sumber – SINAR HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button