Britain terjerumus ke kancah kemelesetan ekonomi

Oleh – Syeikh Baran


Britain terjerumus ke kancah kemelesetan ekonomi
Britain berdepan kemelesetan ekonomi susulan penyusutan 0.3 peratus KDNK pada suku keempat 2023. – REUTERS

Britain kini dilanda kemelesetan ekonomi, sekali gus menjadi tamparan kepada Perdana Menteri, Rishi Sunak, dari parti Konservatif yang diramal kalah dalam pilihan raya umum tahun ini.

Data rasmi hari ini menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menyusut 0.3 peratus pada suku keempat 2023 selepas menguncup 0.1 peratus dalam tiga bulan sebelumnya.



Pejabat Perangkaan Kebangsaan (ONS) dalam satu kenyataan berkata, keadaan itu meletakkan ekonomi Britain dalam kemelesetan selepas apa yang ditakrif sebagai penurunan dua perempat KDNK secara berturut-turut.

Walaupun ahli ekonomi meramalkan kemelesetan hanya bersifat jangka pendek, ia menjejaskan kedudukan Sunak yang meletakkan pertumbuhan ekonomi sebagai keutamaan utama.

Menjelang pilihan raya umum, pengundi berdepan dua pilihan raya kecil hari ini dengan Konservatif bimbang kehilangan kubu kuat di Wellingborough di tengah England dan Kingswood di barat daya.

“Laporan menyebut UK tergelincir ke kancah kemelesetan teknikal pada 2023 akan menjadi tamparan buat perdana menteri pada hari beliau berdepan kemungkinan tewas dua pilihan raya kecil,” kata penganalisis Capital Economics, Ruth Gregory.



Dalam skala lebih meluas, semua sektor utama menyusut pada suku keempat dengan sektor pembuatan dan pembinaan paling terkesan.

Ekonomi Britain secara amnya mendatar tahun lalu dengan pengembangan 0.1 peratus, turun mendadak daripada pertumbuhan 4.6 peratus pada 2022, kata ONS.

Berita itu diumumkan pada hari yang sama Jepun dilapor mengalami kemelesetan.

Sementara itu, Menteri Kewangan, Jeremy Hunt, menegaskan ekonomi sedang pulih walaupun inflasi berada pada 4.0 peratus, dua kali ganda kadar sasaran Bank of England.



“Inflasi yang tinggi adalah satu-satunya penghalang terbesar kepada pertumbuhan.

Walaupun keadaan masih sukar untuk kebanyakan keluarga, kita mesti berpegang pada rancangan awal, memotong cukai ke atas pekerja dan perniagaan untuk membina ekonomi yang lebih kukuh,” katanya.

Bertindak balas kepada data itu, parti Buruh menyelar pengawasan kerajaan terhadap ekonomi.

“Ini adalah kemelesetan Rishi Sunak dan berita itu akan membimbangkan keluarga dan perniagaan di seluruh Britain,” kata jurucakap kewangan Buruh, Rachel Reeves. – AFP



Sumber – BERITA HARIAN


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading