Trump bekas Presiden AS pertama hadapi kes jenayah

Oleh – Syeikh Baran


Trump bekas Presiden AS pertama hadapi kes jenayah
Donald Trump hadir di Mahkamah Jenayah New York, hari ini. – REUTERS

Mahkamah hari ini menolak permohonan Donald Trump untuk mengenepikan tuduhan jenayah berkaitan bayaran ‘menutup mulut’ kepada seorang bintang filem lucah, sekali gus membuka laluan bagi perbicaraan jenayah pertama membabitkan bekas Presiden AS.

Hakim Juan Merchan menetapkan 25 Mac depan sebagai tarikh perbicaraan kes terbabit, satu daripada empat tuduhan jenayah dihadapi Trump dalam laluan memperoleh pencalonan Republikan bagi mencabar calon Demokrat, Presiden Joe Biden menjelang pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS), 5 November depan.



Trump, 77, memohon Merchan mengenepikan 34 pertuduhan dihadapinya termasuk dakwaan memalsukan rekod perniagaan untuk mengaburi bayaran AS$130,000 (RM621,465) kepada pelakon filem lucah, Stormy Daniels, sebelum pilihan raya 2016.
 

Trump mengulangi dakwaan kes itu bermotifkan politik.

“Mereka tidak akan membawa kes ini ke mahkamah kecuali kerana saya akan bertanding untuk jawatan presiden dan melakukannya dengan baik,” katanya di luar bilik mahkamah.

Trump menggunakan tarikh penampilan mahkamahnya untuk mengumpul dana bagi kempen presidennya, walaupun strategi itu menyaksikan pulangan yang semakin berkurangan sejak beliau mengaut jutaan dolar menerusi kehadiran kali pertama tahun lalu.

Trump mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukan Peguam Daerah Manhattan, Alvin Bragg, seorang penyokong Demokrat.



Bekas Presiden AS itu mendesak kes berkenaan ditolak atas alasan undang-undang negeri tidak terpakai untuk pilihan raya persekutuan.

Sekiranya mahkamah menafikan usul Trump untuk menolak, Merchan akan menentukan sama ada perbicaraan diteruskan seperti dijadualkan.

Jadual politik dan undang-undang Trump semakin bertindih menjelang pencalonan semula diramal menentang Biden yang menewaskannya pada pilihan raya 2020.

Dalam perbicaraan mahkamah yang berasingan pada Khamis, peguam Trump meminta hakim di Georgia membatalkan kelayakan pendakwa raya dan beberapa sekutunya yang mendakwa Trump dengan jenayah cubaan membatalkan kekalahan pada pilihan raya 2020 di negeri itu.



Pendakwa raya, Fani Willis, sebelum ini mengakui mempunyai hubungan romantis dengan seorang peguam dalam pasukannya.

Trump juga berdepan pertuduhan di mahkamah persekutuan di Washington seiring usaha membatalkan kekalahan pilihan rayanya dan di Florida atas kesalahan pengendalian dokumen sulit.

Trump mengaku tidak bersalah bagi semua tuduhan.

Kes di Manhattan tertumpu kepada bayaran AS$130,000 (RM621,465) bekas peguam Trump Michael Cohen kepada Daniels atau nama sebenarnya Stephanie Clifford.



Ia bagi menghalang wanita itu daripada bercakap secara terbuka sebelum raya 2016 mengenai pertemuan seksual yang didakwa bersama Trump sedekad sebelumnya.

Trump menafikan perkara itu.

Cohen mengaku bersalah pada 2018 kerana melanggar undang-undang kewangan kempen persekutuan. – REUTERS

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button