Liverpool ‘titik’ Brentford, Salah kembali gegar
Oleh – Syeikh Baran
Mohamed Salah meledak gol pertamanya sejak malam tahun baharu untuk membantu Liverpool membenam Brentford 4-1 sekali gus mendahului carta Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kelebihan lima mata, sebentar tadi.
Darwin Nunez meletakkan Liverpool di hadapan di minit ke-35 sebelum Alexis Mac Allister melebarkan jurang pada minit ke-55 pada aksi di Stadium Komuniti Gtech itu.
Salah yang kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan pada Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) bersama Mesir kemudian mencetak nama selaku penjaring dengan penyudah kemas pada minit ke-68.
Ivan Toney bagaimanapun mengurangkan defisit untuk Brentford tujuh minit kemudian namun Cody Gakpo melengkapkan kemenangan bergaya ‘The Reds’ dengan gol keempat, empat minit sebelum tamat perlawanan.
Manchester City dan Arsenal yang mengekori Liverpool mampu merapatkan jurang kepada dua mata jika berjaya menewaskan lawan masing-masing iaitu Chelsea dan Burnley. – AGENSI
Sumber – BERITA HARIAN