Perketat kawal selia sistem jualan rokok elektronik, vape

Oleh – Syeikh Baran


Perketat kawal selia sistem jualan rokok elektronik, vape
Gambar Hiasan

Kerajaan digesa memperketat pengawalseliaan sistem jualan rokok elektronik dan vape di negara ini, termasuk memantau kandungan dalam cecair vape, yang tidak terkandung dalam Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

Pakar Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata melalui akta itu, rakyat diberi sedikit kelonggaran dalam amalan merokok dan penggunaan rokok elektronik serta vape, namun disalah guna segelintir pihak untuk keuntungan perniagaan.



Lebih membimbangkan, katanya, kemasukan produk itu secara haram dari negara luar meningkatkan risiko terhadap kesihatan rakyat kerana kandungan partikel halus dan sebatian organik meruap (VOC) yang lebih tinggi daripada produk bercukai.

“Pihak yang mengambil kesempatan menjual rokok dan vape kepada individu di bawah 18 tahun, tidak melabel kandungan rokok elektronik dengan baik, tidak menyatakan kepekatan nikotin dalam cecair vape dan menggunakan pelbagai perisa serta warna.

“Di beberapa negara luar, kandungan cecair vape dipantau ketat oleh ejen pensijilan kualiti dilantik kerajaan, justeru produk yang dijual hanya mengandungi bahan diketahui dan dos serta perasa tertentu.

“Penjual juga mempunyai pengetahuan bagaimana menasihati pelanggan, terutama yang bertukar daripada rokok tradisional kepada rokok elektronik bagi mengurangkan ketagihan.



“Sistem ini belum ada di banyak negara membangun, termasuk Malaysia,” katanya kepada BH, hari ini.

Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang diluluskan Parlimen pada Disember lalu, menetapkan kawal selia menyeluruh dilaksanakan bagi pengeluaran semua produk merokok termasuk rokok elektronik seperti vape.

Akta itu bertujuan mengatasi kelompongan undang-undang susulan pengecualian cecair vape bernikotin daripada senarai bahan terkawal Akta Racun 1952, selain selari usaha kerajaan melaksanakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml) mulai 1 April 2023.

Selasa lalu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, turut mendesak kerajaan memperkenalkan peraturan bagi mengawal selia kandungan vape.



Katanya, ketika ini, tidak ada sebarang peraturan yang dikenakan bagi kawalan bahan yang terkandung dalam peranti elektronik terbabit.

Dr Sharifa Ezat turut meminta kerajaan memberi lebih tumpuan membanteras masalah rokok, rokok elektronik dan vape haram.

“Isu rokok haram ini masih wujud di negara seperti United Kingdom (UK), Eropah dan Jepun, namun isu ini besar di negara membangun, termasuk Malaysia,” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading