Trump jual kasut sniker jenama sendiri berharga RM1,900

Oleh – Syeikh Baran


Trump jual kasut sniker jenama sendiri berharga RM1,900
Sebanyak 10 pasang kasut sniker itu turut ditandatangani sendiri oleh Trump. Foto Agensi

Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi membuat kejutan apabila tampil mempromosikan kasut sniker jenama beliau sendiri, The Never Surrender High-Top Sneaker yang dijual pada harga AS$399 (RM1,900).

“Saya mahu beritahu kepada semua idea ini sudah dibincangkan bersama pasukan saya selama 12-13 tahun.



“Ia pasti akan menjadi satu kejayaan besar,” katanya ketika memperkenalkan rekaan kasut itu di sebuah konvensyen di Philadelphia pada Sabtu lalu.

Menurut laman web jenama itu, GetTrumpSneakers.com, sebanyak seribu pasang kasut sniker edisi terhad habis dijual ketika prajualan dalam tempoh beberapa jam selepas bilionair hartanah tersebut melancarkan siri produk baharu termasuk minyak wangi.

Sebanyak 10 pasang kasut sniker itu turut ditandatangani sendiri oleh Trump dan perniagaan terbaharu itu dikatakan tiada kaitan dengan kempen politik.

Promosi mengejut itu dibuat selepas bakal calon Presiden tersebut diarahkan untuk membayar denda kes penipuan sivil di New York berjumlah AS$355 juta (RM1.7 bilion).



Sehingga Oktober 2023, nilai kekayaan Trump dianggarkan sebanyak AS$2.6 bilion (RM12.4 bilion) dengan anggaran tunai dan aset peribadi berjumlah AS$640 juta (RM3.06 bilion). – Agensi

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button