Inisiatif penstrukturan semula AIAC dilaksana secara berfasa

Oleh – Syeikh Baran


Inisiatif penstrukturan semula AIAC dilaksana secara berfasa
Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Inisiatif penstrukturan semula Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) akan dilaksanakan secara berfasa membabitkan pembaharuan tadbir urus Pusat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Dalam hantarannya di rangkaian sosial X, Azalina berkata, penstrukturan semula itu turut membabitkan pengenalan Mahkamah Timbang Tara AIAC mengikut pindaan undang-undang sedia ada.

Beliau berkata, penginstitusian Lembaga Penasihat AIAC yang beralih kepada Lembaga Pengarah AIAC, berusaha membuktikan pembangunan strategik Pusat pada masa hadapan.

“Inisiatif penstrukturan ini antara lain membabitkan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang diamanahkan untuk menguruskan operasi dan pentadbiran harian Pusat,” katanya.

“Ia sememangnya satu lonjakan luar biasa daripada penjenamaan semula AIAC ketika saya memegang jawatan menteri sebelum ini pada 2018, yang menyaksikan pengantarabangsaan identitinya daripada Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur (KLRCA) kepada Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) Malaysia,” katanya.

Azalina berkata, agenda pembaharuan institusi mengesahkan dedikasi berterusan kerajaan untuk mengukuhkan peranan dan fungsi AIAC, selaras mandatnya sebagai tuan rumah di bawah HCA dan pengiktirafan status AIAC sebagai institusi bebas dan berkecuali di bawah AALCO.

Beliau berkata, kerajaan juga memberi kebenaran supaya AIAC terus menduduki dan menggunakan Bangunan Sulaiman bagi tujuan pengoperasian AIAC bagi mengekalkan pertumbuhan Pusat yang mampan.

“Saya gembira AALCO mengiktiraf dan mengalu-alukan inisiatif itu yang selaras dengan piawaian antarabangsa institusi timbang tara yang mantap,” katanya.

Azalina juga mengucapkan terima kasih kepada AALCO dan Setiausaha Agungnya, Dr Kamalinne Pinitpuvadol atas sokongan dan sumbangan kepada inisiatif pembaharuan itu.

Sementara itu, beliau memberi jaminan kepada AALCO bahawa mempromosikan Malaysia sebagai pusat timbang tara pilihan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan MADANI dalam usaha berterusan untuk meletakkan AIAC dalam kedudukan penting di peringkat pusat timbang tara antarabangsa. – BERNAMA

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker