Malaysia bakal kuasai Sukan SEA?
Oleh – Syeikh Baran
LEGENDA lompat tinggi negara, Lee Hup Wei mempunyai misi besar apabila bertekad mencari bakat-bakat baharu mewakili skuad olahraga kebangsaan agar Malaysia mampu menjadi kuasa besar sukan itu pada masa depan.
Jurulatih pelapis sukan lompat tinggi di Majlis Sukan Negara (MSN) itu berharap dalam tempoh lima tahun selepas ini negara akan memiliki atlet terbaik, sekali gus mampu menguasai semula temasya Sukan SEA.
Sebelum ini, Malaysia adalah kuasa besar lompat tinggi Asia Tenggara dengan memenangi pingat emas dalam setiap edisi sejak 1977 kecuali Sukan SEA Manila 2005 di Filipina yang dimenangi atlet Vietnam, Nguyen Duy Bang.
Bagaimanapun, penguasaan Malaysia berakhir selepas Olimpian negara, Nauraj Singh Randhawa meraih pingat perak di Hanoi, Vietnam dua tahun lalu.
Ketiadaan Nauraj dan Hup Wei yang kedua-duanya sudah bersara menyaksikan Malaysia sukar untuk kembali menawan sukan tersebut kecuali acara itu diperkasakan bermula di peringkat akar umbi.
“Lagipun barisan atlet senior juga tidak ramai sangat. Ketika ini saya sedang bekerjasama dengan guru-guru untuk mencari lebih ramai atlet berbakat menerusi Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).
“Kita perlukan masa untuk mencari atlet terbaik. Saya sasar kita akan dapat atlet terbaik dalam tempoh lima tahun dan cuba menguasai balik acara sukan ini.
“Saya akan cuba yang terbaik untuk bawa atlet ke Sukan SEA Thailand 2025. Buat masa ini, saya harap kita mampu cari dua atlet lelaki dan dua wanita ke Thailand tahun depan,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE