Lelaki tunjuk skil ‘drift’ ditahan

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki tunjuk skil 'drift' ditahan
Tangkap layar video tular memaparkan aksi ‘drift’ sebuah kereta sebelum melanggar kenderaan lain di Taman Desa Botani, Batu Pahat.

Polis menahan pemandu kereta Toyota Supra yang melakukan aksi ‘drift’ sehingga terbabas melanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda yang di parkir di Jalan Desa Botani 1, Taman Desa Botani di sini pada Rabu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, lelaki tempatan berusia 20 tahun itu telah ditahan pada jam 1.15 tengah hari.



“Sebelum itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Batu Pahat telah mengesan video tular di Facebook memaparkan kejadian berkenaan yang dipercayai berlaku sekitar jam 12.15 pagi.

“Bertindak atas maklumat dan hasil siasatan serta risikan lanjut, suspek berjaya ditahan dan kereta disita. Ujian saringan air kencing mendapati tiada mengandungi sebarang jenis dadah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan.

“Polis menasihatkan orang ramai terutamanya ‘kaki kereta’ atau ‘kaki motor’ yang cenderung suka menguji dan menunjukkan kehebatan jentera dan ‘kepakaran’ pemanduan agar tidak melakukannya di jalan-jalan awam kerana mengundang risiko bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.



Lelaki tunjuk skil 'drift' ditahan
Pemandu Toyota Supra yang melakukan aksi ‘drift’ ditahan polis. – Foto Polis

“Jika ingin berbuat demikian hendaklah di litar khas yang bersesuaian. Polis akan mengambil tindakan tegas berdasarkan undang-undang yang ada bagi mengelakkan perbuatan tersebut menjadi ikut-ikutan semata-mata untuk mendapatkan perhatian dan ‘test power’ tidak bertempat,” ujarnya.

Aksi video berdurasi 37 saat yang tular itu memaparkan sebuah kereta yang melakukan pusingan ‘drift’ sebelum melanggar sebuah kenderaan lain yang diparkir di bahu jalan kawasan premis perniagaan.

Sumber – SINAR HARIAN




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading