Israel tak pindah hasil cukai, jejaskan pembayaran gaji dan pencen

Oleh – Syeikh Baran


Israel tak pindah hasil cukai, jejaskan pembayaran gaji dan pencen
PERKARANGAN Masjid Al-Aqsa. FOTO AFP

Kegagalan Israel memindahkan hasil cukai kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) menghalangnya daripada membayar gaji dan pencen kepada penjawat awam dan pesara, lapor Agensi Anadolu.

Israel biasanya memungut hasil cukai di lintasan sempadan di bawah kawalannya bagi pihak Palestin dan memindahkannya ke perbendaharaan Palestin di bawah Protokol Hubungan Ekonomi yang ditandatanganinya dengan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di Paris pada 1994. Ia juga mengutip duti kastam pada import Palestin.



Bagaimanapun, Kabinet Israel pada November lalu memutuskan untuk menggantung pemindahan hasil cukai berikutan serangan 7 Oktober oleh kumpulan Hamas.

Norway menjalankan proses menerima hasil cukai yang dikutip oleh Israel bagi PA selepas urusan itu digantung, menurut kenyataan Kementerian Luar Norway yang dikeluarkan pada 19 Februari lalu.

Kenyataan itu menambah bahawa proses itu akan menyaksikan Israel memindahkan hasil cukai yang dikutip ke Norway. Kemudian, Norway menghantar jumlah itu kepada PA, kecuali jumlah yang diperuntukkan untuk Gaza.

Perdana Menteri Palestin Mohammad Shtayyeh sidang Kabinet mingguan pada Selasa lalu berkata, Israel menahan semua hasil cukai.



Pekerja dan pesara kali terakhir menerima gaji penuh mereka pada Oktober 2021, selepas itu mereka hanya menerima gaji secara berselang-seli kerana krisis kewangan pihak berkuasa, dan lebih-lebih lagi, mereka tidak menerima apa-apa, sejak Januari tahun ini.

Pemotongan gaji pada 2021 dilaporkan disebabkan oleh Israel meningkatkan pemotongan hasil cukai haramnya.

Rakyat Palestin di Tebing Barat hanya menerima 80 peratus daripada gaji mereka mulai 2021, dan selebihnya dinyatakan sebagai hutang kepada penerima.

Penerima hanya menerima 60 peratus daripada gaji mereka pada Oktober, November dan Disember lalu sejak serangan 7 Oktober, tanpa apa-apa pembayaran sejak Januari.



Menteri Kewangan Palestin Shoukry Bishara pada 14 Februari tahun ini berkata, pembayaran gaji bulanan itu berjumlah AS$272 juta (kira-kira RM1298.97 juta).

Katanya, daripada 245,000 penerima, 144,000 adalah pekerja dan selebihnya adalah pesara, banduan dan keluarga syuhada.

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button