Kos membesarkan anak di China mahal

Oleh – Syeikh Baran


Kos membesarkan anak di China mahal
Dua wanita menolak kereta sorong bayi di Beijing pada 19 April 2022. – AFP

Satu kajian baharu mendapati China muncul sebagai salah sebuah negara paling mahal untuk membesarkan anak sekali gus mencetuskan kesan tidak seimbang terhadap wanita dan menjejaskan populasinya, lapor laman berita Wion News kelmarin.

Kajian dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Penduduk YuWa itu mendedahkan secara purata, kos membesarkan anak sejak lahir sehingga mereka berumur 18 tahun mencecah kira-kira 538,230 yuan (RM357,488) seorang.

Bagi yang memberi pendidikan tinggi kepada anak sehingga memperoleh ijazah sarjana muda, kos tersebut meningkat kepada lebih 679,993 yuan (RM451,646).

Perbelanjaan itu adalah kira-kira 6.3 kali lebih tinggi daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita di China, kata laporan itu.

Kos tersebut adalah kedua tertinggi selepas Korea Selatan, yang bukan sahaja mempunyai kadar kesuburan terendah di dunia, bahkan kos membesarkan anak di negara itu mencecah 7.79 kali ganda daripada KDNK per kapita.

Sebagai perbandingan, kos membesarkan seorang anak di Australia hanya 2.08 kali ganda daripada KDNK per kapita, manakala kos di Amerika Syarikat adalah 4.11 kali ganda daripada KDNK per kapita.

Seorang penulis yang sedang mengusahakan sebuah buku mengenai perubahan sikap wanita China terhadap perkahwinan dan keibuan, Lijia Zhang berkata, kos pendidikan dan perumahan yang tinggi menyebabkan tanggungjawab membesarkan anak menjadi sukar dari segi kewangan. 

“Ramai wanita yang saya temu bual berkata bahawa mereka tidak mampu untuk mempunyai dua hingga tiga anak.

“Ada yang boleh menguruskan hanya seorang, manakala yang lain tidak mahu mempunyai walau satu pun anak,” katanya yang tidak terlibat dalam kajian itu.

Sementara itu, kajian yang sama mendapati kesanggupan warga China untuk mempunyai anak adalah yang paling rendah di dunia disebabkan kos melahirkan yang tinggi dan kesukaran bagi wanita untuk mengimbangi antara keluarga dan pekerjaan.

Wanita yang mengambil cuti bersalin mengakui mereka menerima layanan tidak adil di tempat kerja selepas kembali bertugas.

Ini diburukkan lagi apabila banyak syarikat mengelak daripada merekrut wanita ketika umur mereka dianggap boleh melahirkan anak.

Memetik penyelidikan daripada beberapa kertas, adalah dilaporkan bahawa wanita yang mempunyai anak mungkin mengalami penurunan gaji sebanyak 12 hingga 17 peratus.

Walaupun wanita China sebelum ini sanggup berkorban dengan ramai yang memilih menjadi suri rumah untuk menjaga anak-anak, kini, ramai daripada mereka menganggap pengorbanan sedemikian tidak berbaloi, kata kajian itu.

Masalah kos membesarkan anak yang tinggi dan keadaan yang dialami kaum wanita itu seterusnya memberi kesan kepada populasi China, di mana sejak dua tahun lalu, populasinya semakin berkurang.

Menurut Biro Perangkaan Kebangsaan, jumlah populasi China menurun sebanyak 2.08 juta orang kepada 1.409 bilion pada 2023, lapor agensi berita Reuters.

Jumlah kelahiran pula adalah lebih sembilan juta, kira-kira separuh daripada jumlah pada tahun 2016.

Walaupun terdapat usaha kerajaan untuk menggalakkan lebih banyak kelahiran seperti melonggarkan polisi kelahiran seorang anak dan menawarkan insentif kewangan, ramai wanita masih enggan melahirkan anak.

“Oleh kerana persekitaran sosial semasa di China tidak kondusif untuk wanita bersalin, kos, masa dan peluang untuk wanita mempunyai anak adalah terlalu tinggi,” kata laporan tersebut. – AGENSI

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker