Juara Bintang RTM 2024 milik Roxy Ixzy

Oleh – Syeikh Baran


Juara Bintang RTM 2024 milik Roxy Ixzy
JUARA Bintang RTM 2024 (BRTM) iaitu Roxy Ixzy membawa pulang wang tunai sebanyak RM78,000 dan sebuah kereta Proton Iriz.

Tujuh minggu berentap, akhirnya finalis asal Sarawak, Roxy Ixzy diumumkan sebagai juara Bintang RTM 2024 (BRTM 2024), malam tadi.

Kemenangan tersebut melayakkan pemilik nama sebenar, Roziena Ixzy, 26 itu membawa pulang wang tunai RM78,000 dan sebuah kereta Proton Iriz.

Pada konsert akhir di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri, Kota Media, peserta keturunan Bidayuh itu membawakan lagu A Woman’ Worth nyanyian asal Alicia Keys sekali gus, mengetepikan lima lagi peserta akhir lain.

Manakala untuk segmen kedua duet bersama artis jemputan, Hariz Fayahet pula menyampaikan lagu berjudul Percayalah nyanyian asal Afgan dan Raisa.

Sebelum ini Roxy Ixzy telah tiga kali menjadi juara minggu sejak pertandingan itu dimulakan.

Naib juara pula menjadi milik gadis berusia 15 tahun iaitu Dhania yang membawa pulang wang sebanyak RM35,000, manakala tempat ketiga diraih Hady Huv yang menerima RM20,000.

Tempat keempat menjadi milik Feka manakala tempat kelima jatuh kepada Eylia Guntabid dan Joy terpaksa akur di tempat kelima.

Pemenang tempat keempat hingga keenam masing-masing menerima RM5,000.

Kesemua persembahan peserta diadili juri tetap iaitu Datuk Syafinaz Selamat, LY dan Ernie Zakri manakala penampilan istimewa Aina Abdul sebagai juri jemputan.

Bagi kategori Anugerah Juri Jemputan, tuah berpihak kepada Hady Huv apabila diumumkan sebagai pemenang, sekali gus membawa pulang RM1,000 serta pakej tajaan spa.

Bagi kategori Bintang Paling Popular hasil undian orang ramai pula, peserta yang telah tersingkir iaitu Jon diundi sebagai pemenang dengan hadiah wang tunai RM10,000

Pertandingan pencarian bakat Bintang RTM 2024 kembali tahun ini selepas lima tahun direhatkan.

Selama 50 tahun bertahan sejak 1973, pertandingan itu meneruskan legasi mencari dan mencungkil bakat vokal serta versatil dalam bidang nyanyian dengan memperkenalkan 14 peserta terbaik seluruh negara.

Seramai 14 bakat muda terbaik dipilih pihak penerbitan Bintang RTM 2024 untuk bertarung menonjolkan bakat yang terdiri daripada peserta berusia antara 15 hingga 25 tahun.

BRTM2024 dikemudikan pengacara Awal Ashaari selama enam minggu manakala malam kemuncak turut menyaksikan penyanyi Sissy Iman sebagai hos bersama.

Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker