Kejar bot bawa 24 PATI sejauh 9km

Oleh – Syeikh Baran


Kejar bot bawa 24 PATI sejauh 9km
Sebahagian PATI yang ditangkap ketika berada dalam ruangan bot tersebut.

Sebuah bot membawa 24 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang cuba menyusup masuk negara ini berjaya ditahan selepas dikejar lebih sembilan kilometer di kedudukan 4.1 batu nautika barat Sungai Janggut, dekat sini awal hari ini.

Kesemua PATI masing-masing warga Indonesia dan Myanmar berusia lapan hingga 52 tahun yang menyorok dalam ruangan khas bot tersebut ditahan kira-kira pukul 1.30 pagi.



Menurut Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, tangkapan itu dilakukan melalui Sistem pengawasan laut (SWASLA) yang berjaya mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan dari perairan Indonesia menuju ke Pulau Angsa kira-kira pukul 11.45 malam.

Katanya, bot ronda Maritim Malaysia kemudiannya diatur gerak ke lokasi dan berjaya memintas bot penyeludup kira-kira pukul 12.15 tengah malam.

“Bot suspek diarahkan berhenti tetapi bertindak cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan 75 minit kemudian.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 24 warga asing yang kesemuanya gagal mempamerkan dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya hari ini.



Jelas beliau, kesemua yang ditahan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen yang sah dan Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” ujarnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button