Seorang warga Singapura jadi pati di JB

Oleh – Syeikh Baran


Seorang warga Singapura jadi pati di JB
Pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Johor menjalankan siasatan terhadap individu di sekitar Johor Bahru dan Pasir Gudang menerusi Ops Bersama semalam. – Foto ihsan Jabatan Imigresen Johor

Perbuatan seorang lelaki warga Singapura mengaburi pihak berkuasa dengan tinggal lebih masa di negara ini selama 13 tahun akhirnya terbongkar semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata lelaki berkenaan adalah antara lima individu yang ditahan menerusi operasi Ops Bersama bermula jam 9.30 pagi itu.



Beliau berkata operasi berkenaan dijalankan secara bersepadu oleh Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen bersama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

Menurutnya, tindakan diambil susulan aduan awam berkaitan kegiatan menceroboh dan membina struktur kedai di atas rizab awam tanpa kebenaran dan kewujudan warga asing di Jalan Wadihana, di sini.

Katanya, hasil pemeriksaan sepanjang operasi itu pihaknya mendapati seorang lelaki warga Singapura berusia 34 tahun tinggal lebih masa mulai 2011 iaitu sejak berusia 21 tahun.

“Turut ditahan di lokasi sama seorang lelaki warga Bangladesh kerana melanggar syarat pas yang ditetapkan.



“Dalam operasi di sekitar Pasir Gudang pula, kami menahan dua lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga Pakistan kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit sah untuk berada di Malaysia.

“Semua mereka dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia, Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan- peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Baharuddin berkata, satu notis untuk hadir ke pejabat turut dikeluarkan.

Katanya, semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.



“Imigresen dengan kerjasama semua jabatan penguatkuasa lain di negeri ini akan terus mempergiatkan lagi operasi bagi membanteras isu lambakan pendatang asing tanpa izin,” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading