Banduan akhir terlepas tali gantung, dijel 33 tahun

Oleh – Syeikh Baran


Banduan akhir terlepas tali gantung, dijel 33 tahun
Gambar Hiasan

Seorang banduan akhir terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menggantikannya dengan penjara 33 tahun dan 12 sebatan kerana membunuh tunangnya yang mati terbakar akibat disimbah petrol pada 2017.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Zabariah Mohd. Yusof mengetepikan hukuman gantung yang diputuskan terhadap Mohamed Hafiz Mohd. Bakri, 36, selepas membenarkan rayuan akhirnya terhadap hukuman tersebut.



Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Hakim-Hakim Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Mohamed Hafiz disabitkan membunuh Nina Farrina Simbul, 21, pada pukul 4.30 petang, 21 April 2017 di sebuah rumah di Taman Sri Bahagia, Tampoi, Johor Bahru.

Perayu yang sewaktu kejadian berusia 29 tahun didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang ketika itu memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mohamed Hafiz didapati bersalah dan dihukum gantung oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 5 Oktober 2020. Keputusan itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober 2021.



Terdahulu, peguam Muhammad Abd. Kadir yang mewakili perayu memaklumkan, pihaknya menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi pengecualian hukuman mati selaras dengan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Amril Johari dan memohon agar perayu dikenakan hukuman penjara 35 tahun berdasarkan cara kematian mangsa akibat dibakar.

Bagaimanapun, Muhammad memohon pemenjaraan minimum dengan alasan kejadian itu bukan dirancang meskipun ada keterangan berhubung pembelian petrol.

“Petrol itu dibeli untuk tujuan lain serta kuantitinya sedikit dan hanya bernilai RM2. Perayu cuba memadamkan api dengan mencurahkan air namun tidak berjaya sebelum menghantar wanita itu ke hospital.



“Anak guam menyesal dengan perbuatannya dan berharap segera keluar dari penjara,” hujah Mohamad.

Peguam bela menghujahkan, anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah dan menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun sejak ditangkap pada 21 April 2017.

Keterangan kes antara lain menyatakan, seorang saksi pendakwaan yang merupakan anak saudara perayu memberi keterangan bahawa Mohamed Hafiz memintanya membeli petrol dan menyuruhnya meletak botol petrol itu di dalam bilik.

Ketika berada di dapur, saksi itu mendengar perayu dan tunangnya bertengkar di ruang tamu, namun mengarahnya masuk bilik dan tidak mencampuri urusan mereka.



Saksi tersebut bagaimanapun mengintai di sebalik tirai dan melihat perayu menyimbah petrol ke badan tunangnya sebelum melihat api.

Saksi berkenaan kemudian bergegas keluar melalui tingkap dan tidak melihat siapa yang menyalakan api sehingga menyebabkan wanita itu terbakar.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button