Wan Saiful ‘kantoi’, SPRM sahkan tiada pegawai hubungi beliau

Oleh – Ku Zairi Ku Kamal


Wan Saiful 'kantoi', SPRM sahkan tiada pegawai hubungi beliau

Dakwaan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan mengenai tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia-SPRM yang menghubunginya berikutan pendedahan di Parlimen dinafikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.



Wan Saiful yang mendedahkan cubaan menyogok beliau supaya menyokong PMX ‘kantoi’ bila Azam sendiri mengesahkan tiada sesiapapun dari SPRM yang menghubungi beliau.

Beliau juga mendedahkan ada ‘janji’ untuk mengugurkan kes yang dihadapinya sekiranya beliau mengambil keputusan menyokong Anwar Ibrahim.

Agak mengejutkan kerana Wan Saiful mendedahkan perkara tersebut di Parlimen dan tidak bertindak melaporkan kepada SPRM akan tawaran yang ditawarkan kepadanya. Mengapa beliau tidak membuat laporan SPRM atau laporan polis sekiranya perkara tersebut benar-benar wujud?

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan mendakwa dihubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaannya berkaitan tawaran ‘habuan’ untuk menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.



Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu berkata beliau menerima mesej daripada pegawai agensi anti rasuah itu yang memintanya menghubungi mereka sejam selepas menyampaikan titah Diraja di Dewan Rakyat. – Laporan 28/2/2024

Semua faham BERSATU kini sedang dalam dilemma dan sedang berdepan krisis dan konflik dalaman walau cuba dinafikan mereka.

Apatah lagi dengan desakan PAS agar BERSATU menerima kehadiran Mahathir ke Perikatan Nasional. Ini ibarat ‘menabur garam di tempat luka’.

Untuk mengalih perhatian semua pihak, maka satu plot penceritaan perlu diwujudkan dan ada kemungkinan plot mengenai habuan yang ditawarkan kepada Wan Saiful adalah salah satu naratifnya.



Siapa tahu perancangan politik sekarang apabila yang salah dikatakan benar dan yang benar dikatakan salah.

MUHYIDDIN TETAP AKAN KE MAHKAMAH DAN BAKAL KE PENJARA SG BULOH?

Tetapi hakikat yang perlu BERSATU akui sekarang ialah mereka bakal ‘kehilangan’ Muhyiddin Yassin sebagai Presiden apabila Mahkamah memutuskan akan mendakwa Presiden BERSATU di Mahkamah.

Dalam satu video yang sengaja disebarkan kepada umum, diperlihatkan betapa eratnya hubungan sesama pimpinan BERSATU apabila saling berpelukan dan mententeramkan satu sama lain.



Apa yang tidak dizahirkan ialah, siapa yang menguir senyuman paling lebar dengan ketiadaan Muhyiddin kelak. 

Berbalik kepada kisah Wan Saiful, beliau sepatutnya menunjukkan intergriti tinggi apabila mendapat tawaran. Bukannya menjadi anak kecil yang kalah bergaduh dengan kawan kemudian balik rumah mengadu kepada emak.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, semakan telah dibuat terhadap pegawai-pegawai SPRM, dan mendapati tiada seorang pun yang menghubungi Wan Saiful selepas dakwaan ditawarkan habuan bernilai RM1.7 juta.- Laporan 29/2/2024

Sewajarnya Wan Saiful menyahut cabaran untuk membuat laporan polis dan SPRM serta mendedahkan individu yang didakwanya sebagai ‘orang tengah’ proses tawar menawar tersebut.



Sekali lagi persoalannya, beranikah Wan Saiful Wan Jan berbuat demikian atau sekadar menyorok dibelakang imuniti Parlimen?

Wan Saiful 'kantoi', SPRM sahkan tiada pegawai hubungi beliau

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button