Mengaku tidak bersalah palsukan maklumat SSM

Oleh – Syeikh Baran


Mengaku tidak bersalah palsukan maklumat SSM
Gambar Hiasan

Seorang pemilik perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur, di sini di atas pertuduhan mengikut Seksyen 12(1)(d) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Akta 197).

Menurut Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Teoh Wei Hau telah dituduh memberikan maklumat palsu kepada Pendaftar Perniagaan dalam Borang A iaitu Borang Pendaftaran Perniagaan yang mana maklumat palsu tersebut adalah berkaitan alamat perniagaan Hai Tian Herbal Enterprise.



Katanya, tertuduh mengaku tidak bersalah dan Hakim Norina Zainol Abidin telah menetapkan sebutan semula kes pada 20 Mac ini bagi serahan dokumen oleh pihak pendakwaan.

“Seksyen 12(1)(d) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Akta 197) memperuntukkan bahawa seseorang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1)(d) Akta yang sama, dengan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekiranya seseorang membuat apa-apa pernyataan atau memberi apa-apa maklumat palsu kepada Pendaftar di bawah peruntukan-peruntukan Akta ini yang dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa pernyataan tersebut adalah palsu.

“Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa SSM, Hamizah Sobree manakala tertuduh tidak diwakili peguam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, SSM juga memberi peringatan kepada orang awam bahawa kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(d) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Akta 197) adalah pelanggaran undang-undang yang berat dan dipandang serius kerana boleh menjejaskan integriti maklumat yang disimpan oleh SSM.



“Tindakan pendakwaan yang diambil oleh SSM ini diharapkan dapat memberi pengajaran kepada tertuduh secara khususnya.

“Ini adalah sebagai peringatan kepada orang awam secara amnya agar sentiasa mematuhi peruntukkan dan undang-undang yang termaktub di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Akta 197) dan undang-undang lain yang ditadbir oleh SSM.

“SSM sentiasa konsisten dalam mengawal selia pematuhan peruntukan undang-undang yang ditadbir di samping memastikan komuniti korporat peka berhubung dengan tanggungjawab fidusiari serta etika perniagaan,” tegasnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button