Rizab negatif LTAT tidak tepat

Oleh – Syeikh Baran


Rizab negatif LTAT tidak tepat
Mohamed Khaled.

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bersedia untuk memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung laporan rizab negatif yang dibangkitkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rizab LTAT pada tahun 2022 berada pada kedudukan positif.



“Sebenarnya ada tiga tabung komponen rizab gabungan dalam LTAT, tetapi pihak Ketua Audit Negara merujuk kepada satu tabung sahaja (Rizab Pendapatan Komprehensif Lain (OCI), tetapi tabung secara gabungan menunjukkan positif dan untuk tahun ini pun mencatatkan positif.

“Bermakna pada tahun lepas 2022 positif, 2023 pun positif lebih kurang dalam RM900 juta ringgit rizab LTAT tahun lepas.

“Jadi sebenarnya kita ingin jelaskan kedudukan LTAT rizabnya seperti yang dibangkitkan oleh audit negara bahawa rizab negatif adalah tidak begitu tepat,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja, Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.

Terdahulu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memaklumkan, ia akan memanggil pengurusan LTAT bagi menyiasat isu rizab LTAT berbaki negatif selepas pendedahan LKAN Rabu lalu.



Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan berkata, PAC juga tidak menolak kemungkinan memanggil Menteri Pertahanan dalam prosiding itu yang dijadualkan selepas sambutan Aidilfitri.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button