Lapan lelaki menyertai himpunan haram didakwa di mahkamah

 

Oleh Pena Merah

Lapan lelaki menyertai himpunan haram didakwa di mahkamah
Akkaskumar keluar dari Mahkamah Majistret Sungai Siput selepas dijatuhi hukuman denda RM2,000 susulan pengakuan salah menyertai perhimpunan haram hingga mengakibatkan kecederaan terhadap seorang individu. – Foto BH/MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

Lapan lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan menyertai perhimpunan haram hingga mengakibatkan kecederaan terhadap seorang individu, Isnin lalu.

Tiga daripada mereka iaitu K Lengeswaran, 22; S Thinakaren, 22: dan M Akkaskumar, 24 mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau lima bulan penjara, jika gagal membayar denda.



Pengakuan tidak bersalah dibuat oleh lima tertuduh yang lain iaitu S Guna Segaran, 21; K Logen, 21; A Ignisrao; M Nagaraj, 22; dan R Naresh, 23; sejurus pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kelapan-lapan mereka dituduh secara bersama ialah ahli suatu perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan bersama untuk mendatangkan kecederaan kepada seorang lelaki, iaitu V Arvind Ranair, 28, iaitu semasa menyertai perhimpunan itu semua ahlinya atau lebih daripada seorang ahlinya dalam melaksanakan tujuan bersama itu, didapati memukul dan mendatangkan kecederaan pada tubuh mangsa yang sama.

Perbuatan itu dilakukan di tepi tokong kecil bersebelahan jalan utama Taman Tun Sambanthan, di sini antara jam 9.30 malam hingga 11.15 malam 11 Mac lalu.

Kesalahan itu dituduh mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun yang sama, iaitu boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.



Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, RS Vitthiyeswary, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, hasil siasatan mendapati mangsa dipukul oleh sekumpulan lelaki menaiki motosikal yang membuat kekecohan terhadap mangsa dan abangnya sehingga cedera hingga memerlukan mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Siput.

Ketika mitigasi hukuman, tiga orang kena tuduh (OKT) yang mengaku bersalah mohon denda minimum dikenakan dengan mengambil kira pelbagai sebab antaranya bekerja sebagai pembantu di pusat cuci kenderaan dengan pendapatan sekitar RM30 sehari.

Vitthiyeswary bagaimanapun memohon hukuman maksimum dikenakan, mengambil kira kadar kecederaan yang dialami mangsa hingga memerlukan jahitan di bahagian kepala, jari, dan belakang badan dengan ketika ditemui mangsa juga dalam keadaan berlumuran darah.



Bagi lima OKT yang mengaku tidak bersalah, majistret membenarkan mereka masing-masing dijamin RM2,500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 15 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes, termasuk untuk lantikan peguam.

OKT yang mengaku bersalah membayar denda yang dikenakan. –Berita Harian


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading