Taktikal ‘perang’ menjadi taruhan

 

Oleh Pena Merah

Taktikal 'perang' menjadi taruhan
Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon pada sesi latihan untuk persediaan ke Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 di Wisma FAM

Taktikal ‘perang’ daripada Kim Pan Gon dilihat akan menjadi perkara paling penting buat Harimau Malaya menentang Oman dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 22 dan 26 Mac depan.

Pengendali dari Korea Selatan itu perlu merencanakan taktikal terbaik dengan mengambil kira semua aspek terutama tahap kecergasan pemain negara yang mana sebahagian besar tiada aksi kompetitif selepas kembali dari Piala Asia 2023, Januari lalu.



Ia susulan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25 hanya akan bermula Mei depan dan situasi berbeza diharungi pemain Oman apabila mereka mendapat kecergasan perlawanan berikutan saingan liga di negara itu terus bersambung selepas Piala Asia di Qatar.

Harimau Malaya juga berdepan kepayahan untuk mendapatkan aksi persahabatan terbaik berikutan kelendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hanya dibuka bermula 18 hingga 26 Mac selain liga di negara lain sedang berjalan.

Kini, aksi berdepan Nepal dalam perlawanan pemanas badan, malam ini yang menjadi medan terbaik untuk Pan Gon menguji tahap pemain dan memikirkan taktikal paling sesuai sebelum menentang Oman di Muscat, 22 Mac nanti.

Pemain tengah Harimau Malaya, Mukhairi Ajmal Mahadi menjelaskan semua pemain harus bersedia dengan apa sahaja perancangan taktikal Pan Gon dan perlu memberi kerjasama demi membantu pasukan meraih keputusan positif dalam dua aksi penting itu.



“Alhamdulillah kita sudah mula awal, tetapi dari segi apa yang jurulatih bagi maklumat, kita tak tahu lagi apa formasi dan corak permainan mereka akan bermain.

“Jadi kami kena fokus, banyak jurulatih akan rancang buat pasukan. Kami perlu fokus apa yang akan diberikan jurulatih, ini salah satu tanggungjawab kepada semua pemain untuk bagi kerjasama.

“Kami perlu waspada sebab mereka (pemain Oman) tengah bermain dalam liga mereka. Jadi tahap kecergasan dan fizikal mereka dalam keadaan baik, itu yang kami perlu berhati hati,” katanya.

Selain faktor kecergasan dan fizikal, Malaysia juga dijangka berdepan tugas getir jika berdasarkan kedudukan Oman yang menghuni tangga 80 dunia berbanding Harimau Malaya di tangga 132.



Malah, taktikal yang akan dimainkan pengendali baharu Oman, Jaroslav Silhavy masih ‘misteri’ kerana Harimau Malaya menjadi ujian sulung buat jurulatih dari Republik Czech itu.

Selepas aksi di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat, anak buah Pan Gon akan meneruskan aksi keempat dalam Kumpulan D dengan melayan Oman sekali lagi di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 26 Mac depan.- Berita Harian




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading