Penyampai berita disiasat dakwa polis kasar, sombong
Oleh – Syeikh Baran
Penyampai berita disiasat selepas disyaki menulis artikel yang menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan diperiksa di hadapan kediamannya di USJ 9, di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pengadu yang juga seorang anggota polis membuat laporan selepas melihat artikel tersebut kira-kira pukul 12.30 tengah hari, semalam.
Katanya, artikel bertajuk ‘Cops must prioritise courtesy’ keluaran sebuah portal berita bahasa Inggeris tempatan berkaitan pemeriksaan polis terhadap seorang lelaki tempatan berusia 30-an kira-kira pukul 1.30 pagi di kediamannya.
“Setelah membaca berita tersebut, pengadu mendapati ia adalah artikel yang tidak benar dan menjatuhkan imej PDRM secara amnya serta Polis Subang Jaya secara khususnya.
“Artikel tersebut telah menyatakan bahawa lelaki tersebut tidak puas hati dengan tindakan polis yang kasar, sombong, tidak profesional semasa menjalankan tugas dan tidak dibenarkan bertanya serta tidak ada minta maaf selepas pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wan Azlan, pengadu telah menjalankan pemeriksaan terhadap lelaki tersebut mengikut undang-undang serta garis panduan yang ditetapkan.
“Hasil semakan dapati lelaki tersebut tiada sebarang rekod jenayah dan laporan polis pemeriksaan dibuat selepas kejadian.
“Siasatan akan dibuat secara terperinci dan akan memanggil penulis serta lain-lain saksi seawal minggu hadapan,” katanya.
Tambah Wan Azlan, kes disiasat di bawah seksyen 504 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 589).
Sumber – KOSMO! ONLINE.