Tiada bukti fizikal penyebaran ditemui

Oleh – Syeikh Baran


Tiada bukti fizikal penyebaran ditemui
Muhammad Khalil (kiri) dan Mazli (tiga dari kiri) berbual dengan Che Jaharah di Kampung Batu 13, Hulu Besut hari ini.

Pejabat Agama Islam Daerah Besut dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memantau pengikut-pengikut Ayah Pin walaupun tiada bukti fizikal penyebaran semula ajaran sesat itu ditemui setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, walaupun secara zahirnya tidak kelihatan tetapi doktrin ajaran sesat lebih menjurus kepada pemikiran dan akidah seseorang yang sukar untuk diukur.

“Tindakan telah diambil JHEAT dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebaik mendapat maklumat (gerakan menghidupkan semula ajaran Ayah Pin) lebih kurang sebulan lalu.



“Kita ukur secara zahir, bukti fizikal tiada cuma apabila kita cakap benda-benda macam ini ada dalam pemikiran, diri. Itu kita tidak tahu,” katanya ketika ditemui di penempatan ahli keluarga Ayah Pin di Kampung Batu 13, Hulu Besut hari ini.

Terdahulu beliau dan Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan menyantuni bekas balu Ayah Pin, Che Jaharah Awang, 64.

Penempatan tersebut yang dahulunya markas ‘Kerajaan Langit’ seluas kira-kira 2.3 hektar mempunyai 38 rumah milik ahli keluarga Ayah Pin.

Muhammad Khalil berkata, berdasar pemantauan, kerajaan negeri Terengganu setakat ini berpuas hati isu penyebaran semula ajaran Ayah Pin ini dalam keadaan terkawal.



Sehubungan itu, beliau memberitahu strategi lebih lunak dan harmoni akan diambil mendekati ahli keluarga Ayah Pin bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada ajaran sesat terbabit.

“Kita akan rapatkan hubungan (dengan ahli keluarga Ayah Pin) dalam aspek menjaga kebajikan dan pendidikan mereka.

“Kelas-kelas untuk membetulkan kefahaman, memberi nasihat dan kaunseling (kepada golongan itu) juga akan dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Mazli memberi jaminan terus memantau bagi memastikan tidak berlakunya sebarang gerakan baharu untuk menghidupkan semula ajaran Ayah Pin tersebut.

Kosmo! semalam melaporkan umat Islam di Terengganu bimbang dengan dakwaan percubaan untuk menghidupkan semula ajaran sesat Ayah Pin atau Kerajaan Langit yang sebelum ini bertapak di Kampung Batu 13, Hulu Besut.

Pejabat Agama Islam Daerah Besut telah mengeluarkan amaran tentang penyebaran ajaran sesat tersebut di masjid-masjid seluruh daerah tersebut pada Jumaat lalu.

Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker