11 laporan polis di Johor

Oleh – Syeikh Baran


11 laporan polis di Johor
M Kumar (tengah) ketika melawat bazar ramadan Angsana Johor Bahru Mall di sini, hari ini. – NSTP/OMAR AHMAD

Polis Johor mengesahkan menerima 11 laporan berhubung insiden penggunaan kalimah Allah pada stoking di negeri ini.

Ketua Polis negeri, Komisioner M Kumar berkata pemeriksaan menyeluruh juga dilakukan ke atas premis kilang di kawasan Taman Perindustrian Sri Gading dekat Batu Pahat, pagi tadi.

“Setakat ini 11 laporan polis diterima dan Ketua Polis Daerah Batu Pahat bersama pasukan 40 anggota telah membuat serbuan dan pemeriksaan di kilang di Sri Gading di Batu Pahat, dan merampas lima pasang stoking untuk siasatan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati pengurus kilang mendakwa membeli stoking itu dari sebuah syarikat di negara China.

“Saya ambil kesempatan ini menasihati semua orang supaya tidak mengambil tindakan menyertai flashmob atau apa juga tindakan yang menyalahi undang-undang, berhubung isu ini.

“Pihak polis sedang menjalankan siasatan dan siasatan telus akan dibuat, bagilah peluang untuk kami jalankan siasatan. Pihak Bukit Aman juga sedang memantau dan mengambil alih siasatan-siasatan ini,” katanya selepas melawat Bazar Ramadan di Angsana Johor Bahru Mall, di sini, hari ini.

Siasatan dijalankan di bawah seksyen 298A/505 (b) kanun keseksaan dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah memaklumkan polis menemui lima pasang stoking tertera kalimah Allah dalam sebuah kilang yang beroperasi di kawasan perindustrian Sri Gading, di sini, pagi tadi.

Bagaimanapun siasatan mendapati lima pasang stoking itu adalah yang dipulangkan oleh tiga kedai serbaneka KK Mart di Bandar Sunway.

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker