Menitiskan air mata kerana perkataan bersara – Zaquan Adha

 

Oleh Pena Merah

Menitiskan air mata kerana perkataan bersara -  Zaquan Adha
ZAQUAN Adha mengakui kecewa sumbangannya terhadap pasukan seakan tidak dihargai apabila kontrak ditamatkan.

Menitiskan air mata ketika dimaklumkan penamatan kontrak bola sepak, suami kepada pelakon Ayu Raudhah iaitu Zaquan Adha mengakui gagal menahan hiba bukan kerana hilang pekerjaan, sebaliknya tersentuh dengan perkataan bersara.

Ujar Zaquan atau nama lengkapnya Zaquan Adha Abdul Radzak, 37, dia berasa kecewa apabila jasanya kepada pasukan seakan tidak dihargai.



“Mungkin ada orang tidak faham saya menangis bukan kerana kontrak tidak disambung tapi sebab perkataan bersara, Itu frasa paling sedih buat semua pemain bola sepak apatah lagi sukan ini jiwa saya.

“Kecewa itu pasti, tak boleh tipu jadi saya buat keputusan untuk berehat sekejap bagi menghilangkan rasa tersebut.

“Namun, itu tidak bermakna saya sudah lupakan sukan yang sudah jadi darah daging saya. Bola sepak tetapi dalam hati saya,” katanya kepada Kosmo! Online.

Meskipun dihujani pelbagai tawaran kontrak baharu daripada pasukan lain selepas berita penamatan khidmatnya tersebar, bekas kapten Negeri Sembilan FC (NSFC) itu kini memilih membantu isterinya berniaga.



Pun begitu, hatinya masih terbuka untuk kembali beraksi di padang tetapi bukan sebagai pemain bola sepak.

“Ada juga pasukan lain yang tawarkan saya kembali beraksi tapi saya perlu fikirkan masa depan, kena fikir panjang, lagipun saya bukan muda lagi.

“Mungkin perlu buka lembaran baru sebagai jurulatih atau usahawan yang berkaitan dengan bola sepak, paling penting nak tenang daripada dunia bola sepak.

“Buat masa sekarang, biarlah saya bantu isteri berniaga dahulu, keputusan tak boleh main-main kena fikir semasa-masaknya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Asnaf, kelmarin.



Sebelum ini, Zaquan mengucapkan selamat tinggal kepada arena bola sepak negara dengan linangan air mata selepas hampir dua dekad menabur bakti dalam Liga Malaysia. – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button