Hanya bantuan melalui darat mampu cegah kebuluran di Gaza

Oleh – Syeikh Baran


Hanya bantuan melalui darat mampu cegah kebuluran di Gaza
Sebuah keluarga Palestin menyediakan hidangan berbuka puasa daripada ‘edible plants’ (tanaman makanan) di sekolah UNRWA tempat mereka berlindung di kem pelarian Jabalia di utara Gaza. – Foto REUTERS

Setiausaha Agung Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus memberi amaran, hanya perluasan lintasan darat untuk penghantaran bantuan ke Gaza boleh membantu mencegah kebuluran di wilayah Palestin yang padat dengan penduduk.

“Usaha terkini untuk menghantar makanan melalui udara dan laut dialu-alukan namun hanya perluasan lintasan darat akan membolehkan penghantaran berskala besar bagi mengelak berlakunya kebuluran,” katanya semalam.



Tedros berkata, kanak-kanak di Gaza sedang menderita akibat kesan kekurangan zat makanan dan penyakit, serta kekurangan air dan sanitasi yang mencukupi.

“Masa depan seluruh generasi berada dalam bahaya yang serius.

“Sekali lagi, kami meminta Israel untuk membuka lebih banyak lintasan dan mempercepat kemasukan serta penghantaran air, makanan, bekalan perubatan dan bantuan kemanusiaan lain ke dalam dan di dalam Gaza,” katanya.

Al Jazeera melaporkan negara termasuk Jordan dan Amerika Syarikat (AS) menggugurkan bantuan melalui udara di sepanjang garis pantai Semenanjung Gaza yang dikepung namun kaedah itu terbukti mahal serta tidak berkesan.



Beberapa orang terbunuh selepas payung terjun yang membawa bekalan itu gagal dibuka, menyebabkan paletnya terhempas ke atas sekumpulan orang yang sedang menunggu makanan di utara kem pelarian Shati di Gaza.

Sementara itu, Israel terus menyekat kebanyakan trak bantuan daripada memasuki Gaza melalui darat.

Sejak serangannya bermula 7 Oktober tahun lalu, Israel melarang kemasukan makanan, air, ubat-ubatan dan bekalan asas lain, kecuali sedikit bantuan yang memasuki bahagian selatan dari Mesir di persimpangan Rafah serta lintasan Karem Abu Salem.

Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini, berkata agensi bantuan dan pegawai kesihatan di Gaza sebelum ini memberi amaran bahawa ia tidak cukup untuk menampung keperluan hampir 2.3 juta orang di kawasan itu, terutama mereka yang berada di utara Gaza, yang mana kebuluran sedang “hampir”.



Badan pemerhati kelaparan dunia, yang dikenali sebagai Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC), pada awal minggu ini, berkata kebuluran kemungkinan berlaku menjelang Mei di utara Gaza dan boleh merebak ke seluruh kawasan itu menjelang Julai.

Tedros berkata, permintaan WHO untuk menghantar bekalan ke kawasan itu sering disekat atau ditolak.

IPC berkata, 70 peratus penduduk di bahagian utara Gaza mengalami tahap kekurangan makanan paling teruk, lebih tiga kali ganda daripada ambang 20 peratus untuk dianggap sebagai kebuluran.

Secara keseluruhannya, 1.1 juta rakyat Palestin di Gaza, iaitu kira-kira separuh daripada penduduknya mengalami “malapetaka” kekurangan makanan.



Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button