Leverkusen akan tamatkan dominasi Bayern

Oleh – Syeikh Baran


Leverkusen akan tamatkan dominasi Bayern
Bayer Leverkusen (jersi hitam) bertindak cemerlang dengan rekod tanpa kalah sejak awal musim ini. – Foto REUTERS

Bekas kapten Bayern Munich, Philipp Lahm percaya Bayer Leverkusen, yang memburu kejuaraan Bundesliga sulung mereka, akan menamatkan penguasaan 11 tahun berturut-turut kelab Bavaria itu tahun ini.

Lahm, pemenang Piala Dunia 2014 dan kini pengarah kejohanan bagi Euro 2024, mengikuti perkembangan rentetan tanpa kalah Leverkusen musim ini yang menyaksikan mereka mengumpul 70 mata, 10 mata di depan pasukan tangga kedua Bayern.



“Ada berbaki lapan perlawanan untuk diharungi dan 10 mata adalah satu jurang yang amat besar. Saya percaya Leverkusen akan muncul juara Jerman musim ini,” kata Lahm.

“Saya tidak fikir ia buruk buat Bundesliga jika pasukan selain Bayern muncul juara. Musim lalu amat menarik hingga ke perlawanan terakhir, sesuatu yang jelas bagus buat liga.

“Leverkusen bertindak hebat sejak awal musim, mereka juga agak bertuah kerana berjaya mengubah situasi memihak mereka, terutamanya kerana setiap pemain ada peranan masing-masing. Itulah yang dicapai Xabi Alonso bersama pasukan,” katanya.

Bayern, yang membida kejuaraan liga ke-12 berturut-turut, berdepan Borussia Dortmund pada pertembungan “Der Klassiker” malam esok.



Jurulatih Thomas Tuchel akan meninggalkan kelab itu hujung musim ini dan skuad mereka dilanda kecederaan.

“Bayern perlu mencari jurulatih yang tepat buat pasukan dan kelab. Jurulatih terakhir hanya mampu bertahan di sana setahun setengah. Itulah sebabnya kesinambungan menjadi kunci, termasuk di peringkat pengurusan,” kata Lahm.

Beliau tidak menolak kemungkian bekerja untuk Bayern pada masa depan.

“Ia mungkin boleh difikirkan. Saya pasti saya setia terhadap bola sepak dalam apa peranan sekalipun, tetapi kini tumpuan utama saya adalah Kejohanan Eropah,” katanya.



Euro 2024 bermula pada 14 Jun depan dengan Jerman bertemu Scotland, Hungary dan Switzerland dalam Kumpulan A. – REUTERS

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button