Luton Town anjur majlis berbuka puasa

Oleh – Syeikh Baran


Luton Town anjur majlis berbuka puasa
Luton Town menjemput jemaah Masjid Madinah menghadiri majlis iftar di stadium kelab itu hujung minggu lalu. – Foto BBC

Kelab Liga Perdana Inggeris, Luton Town menjemput umat Islam dari masjid berdekatan untuk berbuka puasa atau iftar di stadium mereka hujung minggu lalu.

Jemaah Masjid Madinah, yang terletak tidak jauh dari gelanggang kelab itu – Kenilworth Road, menghadiri majlis berbuka puasa pada bulan Ramadan kali ini.



Pengurus Rob Edwards berkata, beliau mendapat inspirasi selepas melihat betapa kuatnya sokongan komuniti Muslim sesudah mereka berjaya naik divisyen pada Mei lalu.

“Kami sebuah bandar yang mempunyai pelbagai etnik tetapi untuk melihat semua orang berkumpul pada masa itu adalah benar-benar istimewa dan ia akan kekal dalam ingatan saya selama-lamanya,” kata Edwards.

“Melihat betapa ia terlalu bermakna buat komuniti kami benar-benar menggembirakan.”

Majlis di Kenilworth Road itu turut termasuk bacaan ayat al-Quran serta kuiz trivia, sebelum Edwards naik ke pentas bersama pengerusi kelab David Wilkinson untuk bercakap mengenai sejarah kelab itu.



Imam Maqsood Anwar dari Masjid Madinah berkata, kedudukan masjid mereka yang terletak di seberang jalan dari stadium itu menjadikan mereka rapat dan mengenali antara satu sama lain.

Anwar berkata majlis seperti di Kenilworth Road boleh membantu mencegah Islamofobia.

Beliau berkata: “Adalah penting untuk kita mengumpulkan semua masyarakat supaya orang ramai tahu mengenai iftar dan belajar mengenai Islam sekali gus membentuk perpaduan dalam masyarakat.

“Bola sepak menyatukan kita semua.” – AGENSI



Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button