Johan Ghazali kembali ke gelanggang pertarungan

Oleh – Syeikh Baran


Johan Ghazali kembali ke gelanggang pertarungan
Jojo dijadual membuat perhitungan dengan juara WMF Muay Thai lima kali dari Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat pada 7 Jun depan di Impact Arena, Bangkok, Thailand. – Foto ihsan ONE Championship

Selepas ‘bercuti panjang’, jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar akan kembali menghangatkan gelanggang ONE Championship.

Kali terakhir Johan bertarung adalah pada 8 Disember tahun lalu yang menyaksikan dia menumbangkan juara WBC dari Mexico, Edgar Tabares menerusi kemenangan ‘knockout’ (KO) dalam tempoh 36 saat di Bangkok.



Selepas pertarungan itu, Johan terpaksa melupakan seketika aksi di ONE Championsip kerana perlu memberi tumpuan kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berakhir, awal bulan ini.

Bintang muda yang mewakili Rentap Muay Thai Gym itu mengakui teruja untuk kembali bertarung dan yakin dia mampu mengekalkan rekod tanpa kalahnya dalam ONE Championship.

Bagaimanapun, dia menyifatkan pertarungan kali ini akan menjadi yang paling mencabar sejak menyertai ONE Championship berdasarkan pengalaman dan reputasi yang dimiliki lawannya itu.

“Ini akan menjadi pertarungan yang paling mencabar sejak masuk ONE Championship.



“Ini kerana Nguyen ini sudah berpengalaman dalam ONE Championship dan sudah lawan nama-nama besar selain ada rekod yang baik.

“Apa yang saya lihat sebelum ini tendangan kepala dia sangat bagus dan pergerakan dia sangat laju.

“Jadi, ini antara perkara yang saya perlu berhati-hati tetapi saya percaya dengan latihan dan persiapan yang betul saya boleh harunginya,” kata Johan ketika temu bual Eksklusif bersama BH Sukan secara dalam talian, hari ini.

Seperti Johan, pertarungan kali ini juga akan menjadi aksi kompetitif pertama buat Duy Nhat yang berusia 35 tahun selepas kali terakhir turun ke gelanggang pada 8 Disember lalu.



Ketika itu dia yang kembali ke ONE Championship selepas empat tahun terpaksa akur tewas di tangan Denis Puric dari Bosnia and Herzegovina secara KO di pusingan kedua.

Menurut Johan, meskipun dia ‘bercuti’ daripada pertarungan, namun program latihannya tetap berjalan seperti biasa sepanjang tempoh itu di bawah kendalian jurulatihnya dari Thailand, Addy Sipangyak.

“Selepas pertarungan terakhir saya, latihan berjalan seperti biasa, saya hanya cuti seminggu saja tetapi selepas itu sudah kembali berlatih.

“Sebab itu, saya percaya dari segi persiapan tiada masalah untuk saya kembali bertarung pada Jun nanti.



“Cuma, pada bulan puasa ini, waktu latihan berubahlah, saya berlatih di sebelah malam selepas solat terawih dan intensiti latihan pun kita kurangkan.

“Namun, selepas bulan puasa ini, intensiti latihan akan kembali ditingkatkan untuk saya buat persiapan bagi menghadapi pertarungan nanti,” katanya.

Pada Oktober tahun lalu, Johan mencipta sejarah apabila menjadi atlet tempur termuda memperoleh kontrak bernilai AS$100,000 (RM463,300) dengan ONE Championship.

Dengan rekod kemenangan 5-0 termasuk empat menerusi kiraan knockout (KO) sepanjang saingan musim lalu, Johan turut diangkat sebagai Bintang Muda Paling Menyerlah 2023 oleh ONE Championship.



Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button