Ini bukan pertandingan – Fizo
Oleh Razak Hasan
Bergilir dengan bekas isteri menjaga permata hati mereka, pelakon Fizo Omar mengakui keputusan mahkamah adalah langkah paling tepat bagi mengelakkan pertikaian.
Pemilik nama Wan Hafizol Wan Omar itu berkata, ketetapan yang sudah dipersetujui sejak awal membolehkan urusan menjaga Wan Maryam yang kini berusia tujuh tahun berjalan lancar.
“Alhamdulillah, dari lagi awal lagi kami sepakat berbincang biar mahkamah yang putuskan agar tiada pergaduhan.
“Kalau ikut giliran, Maryam bersama saya tiga hari, manakala selebihnya dengan ibunya iaitu pada hari persekolahan.
“Memang tiada hal sebab kami ikut keputusan mahkamah, bahkan sebarang perubahan hari pun kami boleh berlebih kurang,” katanya ketika ditemui pada program Janji Berbaloi 149 di ST Rosyam Mart Semenyih, baru-baru ini.
Pengacara Nasi Lemak Kopi O itu berkata, biarpun sudah berpisah, mereka memahami tanggungjawab ibu bapa adalah menyediakan persekitaran yang sihat buat anak.
Tegas Fizo, tidak perlu membuang masa, tenaga serta wang berebut hak penjagaan anak sehingga ‘berkampung’ di mahkamah, sekali gus menjejaskan perasaan si kecil.
“Kalau ikut emosi memang kita akan gaduh, saman menyaman tetapi kunci utama dalam setiap isu adalah sabar.
“Ikut angin memang bertahun-tahun kes boleh berlangsung di mahkamah, tengok-tengok anak sudah besar tapi kes belum selesai. Daripada habis duit bayar peguam lebih baik kita bertolak-ansur.
“Syukur kita dapat kawal emosi. Ini bukan pertandingan siapa kalah siapa menang, lagipun saya tak mahu anak buka media sosial boleh baca tentang ibu bapanya bergaduh,” katanya kepada Kosmo! Online.
Menurut Fizo lagi, dia tidak pernah membuat tuntutan hak penjagaan kerana percaya anak perempuan wajar diasuh ibu biarpun hubungannya dengan puteri sulungnya itu sangat akrab.
“Bagi saya seorang anak perempuan lebih bagus tinggal dengan emak, banyak kelebihan berbanding diasuh bapa sahaja.
“Daripada situ juga saya belajar tentang menghargai masa berkualiti dengan Maryam. Saya sanggup tak ambil tawaran apabila gilirannya tinggal dengan saya.
“Semuanya saya rancang awal memandangkan Maryam dengan saya hujung minggu sahaja tetapi ibunya masih boleh pertimbangkan jika ada perubahan,” ujarnya.
Sebelum ini, Fizo dan ahli perniagaan, Mawar Karim mendirikan rumah tangga pada November 2013 namun bercerai pada Julai 2019.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Wan Maryam yang kini berusia tujuh tahun.
Fizo kemudian berkahwin dengan Fazeera Nazri Azrai pada 21 Oktober 2021 dan mendapat dua cahaya mata. – KOSMO! ONLINE.