Lelaki Amerika tumbuk mati lelaki tempatan didakwa

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki Amerika tumbuk mati lelaki tempatan didakwa
Thomas Joseph ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini. -Foto M.FIRDAUS M.JOHARI/KOSMO!

Seorang lelaki warga asing yang menumbuk seorang lelaki tempatan hingga maut dalam insiden ‘terlanggar bahu’, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian.

Bagaimanapun tertuduh Thomas Joseph, 30, yang merupakan warganegara Amerika Syarikat (AS) itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, Thomas yang merupakan juruteknik itu didakwa telah menyebabkan kematian ke atas K.Chandra Bose, 58, dengan niat hendak menyebabkan kecederaan tubuh badan yang mungkin mengakibatkan kematian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan sebuah bar di The Square Jaya One, Jalan Prof. Diraja Ungku Aziz, di sini pukul 12.30 tengah malam pada 23 Mac lalu (2024).

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seskyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan kenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Anis Hakimah Ibrahim tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan yang dilakukan serius selain tertuduh juga merupakan warga asing.

“Jika jaminan diberi, terdapat risiko tertuduh untuk melarikan diri serta tidak hadir di prosiding akan datang.

“Namun, sekiranya mahkamah berhasrat untuk memberikan ikat jamin, pihak pendakwaan mencadangkan kadar jaminan dengan jumlah yang tinggi berserta syarat tambahan ” kata Anis Hakimah.

Bagaimanapun peguam, Suraj Singh yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya dilepas dengan jaminan kerana pertuduhan terhadap anak guamnya adalah Seksyen 304 Kanun Keseksaan dan bukannya Seksyen 302 kanun sama.

“Pada hari ini, pihak pembelaan turut menyediakan dua penjamin warganegara Malaysia sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin. Bapa tertuduh juga turut hadir ke mahkamah (mengikuti prosiding),” kata peguam itu.

Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Syahliza kemudian memutuskan untuk tertuduh tidak diikat jamin.

“Setelah mahkamah menimbangkan hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan bagi isu jaminan, mahkamah berpandangan tiada alasan yang munasabah bagi membenarkan jaminan bagi kes ini. Oleh itu, jaminan tidak dibenarkan,” kata hakim itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Mei ini bagi sebutan semula kes.

Sebelum ini media melaporkan hanya terlanggar bahu, seorang lelaki warga tempatan maut ditumbuk lelaki warga asing dalam kejadian di sebuah pusat hiburan, di Sea Park di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, kejadian pukul 1 pagi itu dipercayai berlaku apabila mangsa dan suspek berusia 40-an yang tidak mengenali antara satu sama lain pergi ke pusat hiburan tersebut untuk berhibur.

“Suspek yang tidak berpuas hati selepas mangsa ada menendangnya sedikit selepas terlanggar bahu menyebabkan dia terus melepaskan satu tumbukan.

“Akibat tumbukan itu mangsa terjatuh dan cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia,” kata Shahrulnizam.

Susulan kejadian itu, polis kemudian menahan lelaki warga asing terbabit bagi membantu siasatan selain rakan mangsa yang terbabit dalam pergaduhan itu juga ditahan bagi membantu siasatan.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker