Mangsa sindiket pekerjaan disoal siasat

Oleh – Syeikh Baran


Mangsa sindiket pekerjaan disoal siasat
Mohamad ketika menghadiri Sidang Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama

Rakyat Malaysia yang diselamatkan daripada menjadi mangsa penipuan sindiket tawaran pekerjaan akan disoal siasat oleh pihak berkuasa bagi memastikan mereka benar-benar mangsa dan bukannya berperanan sebagai dalang.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan tegas akan dikenakan mengikut undang-undang sedia ada iaitu Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 sekiranya terdapat bukti bahawa mereka yang diselamatkan itu ialah dalang yang merekrut mangsa.

“Sekiranya sabit kesalahan, mereka boleh didakwa dan dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda. Setakat hari ini seramai empat orang warga Malaysia telah didakwa kerana disyaki menjadi dalang sindiket penipuan ini di Peru pada 2023,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Roderick Wong Siew Lead yang ingin mengetahui langkah diambil kerajaan bagi mengelakkan lebih ramai mangsa terlibat dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja, Laos, Myanmar, Thailand dan lain-lain negara.

Mohamad berkata, tawaran gaji lumayan mencecah hingga AS$2,000 (RM9,450), kemudahan lengkap, tambang penerbangan dan penginapan serta kebebasan berjudi secara pinjaman dikenal pasti antara punca rakyat Malaysia tertarik dengan tawaran pekerjaan luar negara.

“Namun apabila mereka bekerja, mereka perlu mencapai sasaran ditentukan majikan dan jika gagal mencapai sasaran, mereka akan didenda seperti ditolak gaji, tidak diberi makan dan dipaksa bekerja lebih masa,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa prihatin dan memandang serius berhubung isu sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan melibatkan warga Malaysia dan pelbagai usaha dilakukan untuk membanteras jenayah itu.

“Isu ini bersifat merentas pelbagai kementerian dan agensi kerajaan selaras dengan aspirasi kerajaan iaitu(pendekatan) keseluruhan kerajaan. Kementerian juga sudah bekerjasama erat dengan kementerian lain serta agensi berkaitan bagi membendung jenayah ini.

“Selain itu, banyak juga yang sudah kita laksanakan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terutamanya golongan muda melalui pelbagai aplikasi media seperti Youtube, Instagram serta video hebahan untuk kesedaran dan ia turut dikongsi media masa utama seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Astro Awani dan TVS,” katanya. – Bernama

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker