Tiada rumah terbuka Aidilfitri di Seri Perdana

Oleh – Syeikh Baran


Tiada rumah terbuka Aidilfitri di Seri Perdana
Anwar ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya pada Selasa. Foto Bernama

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bercadang untuk membuat sebarang majlis sambutan Aidilfitri di kediaman rasminya di Seri Perdana tahun ini, sebaliknya hanya mahu mengikuti sambutan anjuran kementerian di negeri-negeri.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan harus mengamalkan langkah berjimat cermat, dan beliau mahu supaya tindakan itu dicontohi oleh agensi-agensi kerajaan yang lain

Sehubungan itu beliau menggesa setiap agensi dan kementerian, terutama sekali Kementerian Kewangan agar tidak bermegah dalam mengadakan majlis sambutan Aidilfitri yang bakal diraikan tidak lama lagi.

Sementara itu Anwar berkata, keputusan kerajaan memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri kepada penjawat awam dibuat selepas mengambil kira kos sara hidup yang diakui sedikit meningkat ketika ini, selain memenuhi keperluan untuk menyambut Aidilfitri.

“Malam (Ahad) saya fikir (mengenai BKK itu) dan nak tidur pun terganggu. Jadi saya fikir bagi jelah sikit kurang-kurang reda sikit (beban) dan kerja pun semangat. Harap kita belanja dengan cermat dan berhemat.

Anwar mengakui agihan bantuan RM2,000 (Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam) kepada penjawat awam bulan lepas, tidak dapat menampung keperluan sedia ada.

“Saya telah jelajah ke Sarawak, Pahang, Perak dan Perlis, saya lihat masih ada penjawat awam di peringkat bawah mengeluh kerana kos sara hidup yang meningkat sedikit,” katanya.

Semalam Anwar mengumumkan BKK Aidilfitri RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah yang akan dibayar pada Jumaat ini, di samping BKK Aidilfitri RM250 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.

Anwar seterusnya menggesa semua agensi, badan-badan berkanun kerajaan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan untuk mengumumkan bantuan sama kepada pekerja mereka.

“Kalau boleh bagilah pertimbangan untuk ratusan ribu pekerja di bawah supaya mereka dapat habuan untuk meringankan beban bagi sambut Aidilfitri,” katanya. – Bernama

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker