Ethan Wheatley mengesahkan dirinya memiliki ‘darah’ Malaysia

 

Oleh Razak Hasan

 Ethan Wheatley mengesahkan dirinya memiliki ‘darah’ Malaysia
WHEATLEY (kiri) antara pemain muda yang diberikan peluang menjalani latihan bersama skuad senior United di Carrington.

PEMAIN akademi Manchester United, Ethan Wheatley mengesahkan dirinya memiliki ‘darah’ Malaysia sekali gus berpotensi untuk diserapkan dalam skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.

Menerusi instagram pencari bakat, Frfuturetalents, Wheatley berkata menerusi hantaran mesej peribadi, nenek kandungnya lahir di Selangor, tetapi mengambil keputusan untuk berhijrah ke England ketika usia muda.



“Benar (saya ada darah Malaysia), nenek saya lahir dan dibesarkan di Selangor, tetapi telah berhijrah ke UK (England) ketika muda.

“Sewaktu saya kecil, keluarga saya selalu bawa saya pulang bercuti ke Kuala Lumpur,” kata pemain berusia 18 tahun itu secara ringkas.

Wheatley ketika ini bersama skuad remaja bawah 18 (B-18) United dan bersaing di peringkat remaja saingan Liga Perdana Inggeris 2 (EPL 2) dan Liga Remaja Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Pendedahan ini kedua diberikan oleh Frfuturetalents pada minggu ini selepas turut mengesahkan penyerang kelahiran Belanda, Ferdy Druijf turut berusaha untuk mencari dokumen mengesahkan dirinya layak menjadi pemain berdarah warisan Malaysia.



Sama seperti Wheatley, susur galur warisan Druijf juga hadir menerusi nenek kandungnya tetapi masih lagi mencari dokumen sokongan bagi memastikan dakwaan yang diberikan berasas.

Frfuturetalents mula mendedahkan bakat yang didakwa memiliki ‘darah’ Malaysia sekitar Eropah pada tahun lalu dengan nama-nama seperti Mats Deijl, Sem Scheperman dan Diego van Oorschot.

FAM sebelum ini mengesahkan bahawa kebanyakan nama pemain bola sepak profesional yang ditularkan di laman sosial adalah palsu.

Antara pemain berdarah warisan yang mewakili Harimau Malaya ketika ini seperti La’vere Corbin-ong (Barbados), Matthew Davies (Australia), Dominic Tan (Singapura), Natxo Insa (Sepanyol), Darren Lok (England), Brendan Gan (Australia). – Kosmo Online




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading