272 ditahan kerana eksploitasi kanak-kanak

Oleh – Syeikh Baran


272 ditahan kerana eksploitasi kanak-kanak
Polis Singapura, Hong Kong dan Korea Selatan menahan 272 suspek kes eksploitasi seksual kanak-kanak dalam serbuan di 236 lokasi selama lima minggu. – Foto ihsan SPF

28 suspek di Singapura adalah antara 272 yang ditahan dalam tindakan keras rentas sempadan selama lima minggu membanteras eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian di sini serta Hong Kong dan Korea Selatan.

Pasukan Polis Singapura (SPF), termasuk Jabatan Siasatan Jenayah, dan rakan sejawat asing mereka melakukan serbuan di 236 tempat di ketiga-tiga lokasi, dengan suspek paling muda ditahan berumur 12 tahun manakala yang paling tua berumur 73 tahun.



Mereka yang ditangkap di Singapura berumur antara 18 dan 59 tahun dengan dakwaan merangkumi kesalahan memiliki, mengakses dan mengedar bahan penderaan kanak-kanak dan terbabit dalam komunikasi seksual dengan kanak-kanak bawah umur.

Sembilan daripada mereka sudah dirujuk kepada Pasukan Bantuan Komuniti Tempatan dan Skim Rujukan untuk penilaian dan tindakan selanjutnya.

Peranti elektronik, termasuk komputer, telefon bimbit dan peranti storan, yang ditemui di 44 lokasi di Singapura turut dirampas.

Siasatan mendapati beberapa individu dikatakan memperoleh bahan berkaitan penderaan kanak-kanak melalui platform penghantaran mesej.



Menekankan komitmen negara untuk melindungi kanak-kanak daripada bahaya, Asisten Komisioner, Yeo Yee Chuan dari Pasukan Polis Singapura berkata, jenayah terhadap kanak-kanak tidak boleh dibiarkan.

Pemangku Superintendan Kanan, Rachel Hui dari Pasukan Polis Hong Kong merakamkan penghargaan atas usaha kerjasama itu, menekankan kepentingan tindakan penguatkuasaan dalam menjaga kesejahteraan kanak-kanak.

Agensi Polis Kebangsaan Korea Selatan menyuarakan sentimen yang sama, menekankan keperluan untuk perpaduan antarabangsa bagi memerangi jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak dengan berkesan.

Mereka yang disabitkan kesalahan memiliki atau mendapat akses kepada bahan penderaan kanak-kanak boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda atau rotan.



Mereka yang disabitkan kesalahan mengedar, menjual atau menawarkan bahan penderaan kanak-kanak untuk dijual, atau memiliki bahan penderaan kanak-kanak bagi tujuan pengedaran boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan boleh juga didenda atau dirotan. – AGENSI

Sumber – BERITA HARIAN


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading