Polis NY setuju bayar RM83 juta untuk kes paksa buka hijab

Oleh – Syeikh Baran


Polis NY setuju bayar RM83 juta untuk kes paksa buka hijab
FOTO HIASAN

Bandar Raya New York bersetuju membayar AS$17.5 juta (kira-kira RM83 juta) bagi menyelesaikan tuntutan mahkamah yang difailkan oleh dua wanita yang mengatakan hak mereka dicabul apabila terpaksa menanggalkan tudung sebelum polis mengambil gambar (mug shot) mereka.

New York Times berkata, penyelesaian kewangan yang difailkan pada 5 April itu masih memerlukan kelulusan oleh Hakim Analisa Torres dari Mahkamah Daerah Amerika Syarikat (AS) untuk Daerah Selatan New York.



Itu adalah perkembangan terbaru dalam tuntutan mahkamah yang difailkan pada 2018 oleh Jamilla Clark dan Arwa Aziz , dua wanita Islam yang berkata mereka berasa ‘malu dan terdedah’ dengan tindakan anggota polis.

“Apabila mereka memaksa saya menanggalkan tudung, saya berasa seolah-olah saya berbogel. Saya tidak pasti sama ada kata-kata dapat menggambarkan betapa terdedah dan dicabuli perasaan saya.

“Saya sangat berbangga hari ini kerana memainkan peranan dalam mendapatkan keadilan untuk beribu-ribu warga New York,” kata Clark dalam satu kenyataan.

Sebagai tindak balas kepada tuntutan mahkamah, jabatan polis pada 2020 menukar dasar untuk membenarkan penganut agama Islam bergambar memakai penutup kepala, selagi penutup itu tidak menghalang muka mereka.



Dalam satu kenyataan pada 5 April, jurucakap Jabatan Undang-undang bandar itu berkata, tuntutan mahkamah itu sudah menunjukkan pembaharuan positif untuk Jabatan Polis New York.

Jumlah pampasan penyelesaian itu, yang berjumlah lebih AS$13 juta (kira-kira RM51.7 juta) sebaik kos pentadbiran dan yuran peguam ditolak, akan dibahagikan kepada beribu-ribu orang yang dijangka memfailkan tuntutan sama.

Clark yang ditangkap kerana melanggar perintah perlindungan di Manhattan pada 2017 berkata, dia menangis dan merayu untuk memakai semula tudungnya semasa berdiri di Ibu Pejabat Polis di One Police Plaza dengan tudung di bahunya, menurut saman itu.

Sementara Arwa, yang juga ditangkap kerana melanggar perintah perlindungan berkata, dia mengalami pengalaman serupa lapan bulan kemudian apabila dia ditangkap di Brooklyn.



“Dia menangis teresak-esak sambil berdiri membelakangi dinding, dengan pandangan tajam daripada beberapa pegawai NYPD lelaki dan lebih daripada 30 banduan lelaki,” katanya dalam tuntutan samannya.

Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button