Hawa dari pembaca berita ke hos program hiburan

 

Oleh Razak Hasan

Dari pembaca berita ke hos program hiburan
Hawa lebih suka jadi diri sendiri dan tak suka menjadi hipokrit

Dari pembaca berita Buletin Utama, pengacara Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, 29, berjinak-jinak dalam dunia hiburan sebagai hos program hiburan, MeleTOP menggantikan tempat Neelofa.

Hawa yang menyertai keluarga MeleTOP pada 2022 menjadi perhatian kerana wajahnya mirip Neelofa.



Sejak bergelar artis, kehidupan privasi anak kedua daripada tiga beradik ini sering menjadi perhatian. Pergaulan dan cara berpakaian juga menjadi bahan perdebatan.

“Kalau dulu sebagai penyampai berita, saya lebih ‘straight forward’. Namun, ia berbeza bila saya menyertai keluarga MeleTOP. Program ini sendiri sudah berusia 11 tahun dan memiliki ramai pengikut.

“Memang awalnya terkejut bila orang mula memberi perhatian kepada saya.

Bila mengendalikan program popular, saya perlu menjaga tindak-tanduk dan adab.



“Sebab saya tak mahu generasi muda ikut perkara tak elok.

Saya sendiri dari semasa ke semasa berusaha menjadi lebih baik sebab merasakan ia satu tanggungjawab, lebih lagi mengendalikan program hiburan,” katanya kepada BH Online.

 

Dari pembaca berita ke hos program hiburan
Hawa berusaha jadi insan lebih baik dan terima teguran peminat. – Foto IG Hawa Rizwana

Mengulas perasaan ketika mula terima kecaman, ibaratnya, apa sahaja dilakukan serba tak kena, Hawa berkata, dia ambil iktibar dari setiap kekhilafan dilakukan.



“Tiada siapa mahu dibenci dan dikritik. Jika ada komen tidak elok, saya akan berikan perhatian.

“Bukan melatah, sebaliknya saya akan berusaha perbaiki diri.

Saya perlu muhasabah diri, netizen yang beri komen bukan seorang dua.

“Jadi, saya cuba berusaha jadi insan lebih baik dan terima apa sahaja teguran sama ada dari segi kerja, pemakaian ataupun pergaulan,” katanya.



Anak kepada bekas pengacara program Selamat Pagi Malaysia, Profesor Datuk Dr Ahmad Redzuan Abdul Rahman itu berkata, dia lebih suka jadi diri sendiri dan tak suka hipokrit.

“Kalau saya rasa nak kongsi, saya akan berkongsi apa sahaja. Cuma, saya agak hati-hati supaya tak dikecam dan perlu lebih menjaga.

“Mulanya dahulu pakaian saya ketika aktiviti berbasikal ditegur, niat saya hanyalah nak tunjukkan sukan kegemaran saya.

“Bila dapat kritikan, saya masih bersukan cuma hadkan hantaran yang perlu dikongsi,” katanya. – Berita Harian



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button