Sambutan syawal Zizan tidak semeriah dulu

 

Oleh Razak Hasan

Sambutan syawal Zizan tidak semeriah dulu
Zizan masih tak dapat lupakan keenakan sate hasil air tangan arwah neneknya.

Sejak pemergian arwah nenek tersayang empat tahun lalu, lebaran diraikan pelakon dan pelawak, Zizan Razak tidak lagi semeriah dulu.

Jika dulu Syawal amat dinanti-nantikan Zizan dan keluarga, namun kali ini semuanya dirasakan hambar dan hilang seri.



Bukan tidak boleh terima ketentuan takdir, tetapi menurut pemilik nama sebenar, Mohd Razizan Abdul Razak itu, nenek adalah segala-gala buat dirinya.

“Selepas beberapa tahun pemergian arwah nenek yang meninggal dunia pada 2020, kami sekeluarga hanya beraya di Kuala Lumpur sahaja.

“Saya lebih selesa duduk di rumah. Kalau balik Kuala Terengganu pun, cuma nak jumpa ayah sahaja.

“Pemergian arwah nenek memang membawa perubahan besar pada diri dan turut menjejaskan sambutan Aidilfitri.



“Memang rasa lain bila nenek tiada kerana kami memang rapat,” kata Zizan kepada BH Online.

Sambutan syawal Zizan tidak semeriah dulu
Zizan lebih selesa duduk di rumah dan beraya di Kuala Lumpur selepas pemergian arwah nenek.

Berkongsi pengalaman bersama wanita kesayangannya itu, pemenang trofi Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 itu berkata, hingga hari ini masih tak dapat melupakan keenakan sate hasil air tangan neneknya itu.

“Selepas arwah tiada saya ada juga menziarah rumah peninggalannya di Dungun. Rasa sedih sangat.

“Terus teringat zaman masa arwah masih hidup. Saya membesar dengan arwah. Bahkan ibu melahirkan saya di bilik arwah.



“Sampai saya sudah berkerja, saya pasti akan menziarahi arwah setiap hujung minggu.

“Cuma bila jadi artis, saya tak dapat lawat arwah sekerap dulu kerana jadual kerja yang agak ketat.

“Rasa terkilan juga, tapi nak buat macam mana. Satu lagi perkara yang cukup istimewa mengenai arwah adalah cukup pakar buat sate.

“Sate arwah sangat sedap dan belum ada sesiapa yang mampu menandingi air tangannya,” cerita Zizan lagi.



Sementara itu, Zizan turut berkongsi berita gembira iaitu telefilem arahannya berjudul Awak Terlalu Ganu Untuk Saya bakal menemui penonton Astro pada hari raya ini.

“Ini adalah telefilem pertama arahan saya. Banyak perkara yang yang perlu saya belajar dan perbaiki.

“Ia juga memberi cabaran buat saya kerana selain mengarah, saya juga berlakon dan menulis skrip,” ujarnya. – Berita Harian




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading