Tetap meriah sambut raya bertiga – Rita

 

Oleh Razak Hasan

Tetap meriah sambut raya bertiga - Rita
Rita berkongsi, anak-anak tak rasa tersisih biarpun tidak pernah dapat peluang bersalaman dengan lelaki bergelar bapa sejak kecil.

Meskipun tanpa kehadiran sosok lelaki bernama suami mahupun ayah, sambutan Aidilfitri aktres jelita, Rita Rudaini, 47, bersama dua heronya yang semakin menginjak remaja tetap meriah.

Saban tahun, tiga beranak ini cuba pulang ke kampung halaman Rita di Perlis kerana Airit Rayyan Rizqin, 15, dan Airit Qaqa Arjuna, 13, suka suasana kampung.



“Tahun ini, saya balik ke Perlis atas permintaan anak kerana kami beraya di Kuala Lumpur, tahun lalu.

“Rayyan dan Arjuna lebih seronok beraya di kampung kerana suka suasana di sana.

“Sebenarnya saya dan sepupu setiap tahun berbincang nak sambut raya di mana. Sama ada di Kuala Lumpur, tengah-tengah di Perak atau semua balik ke Perlis.

“Tapi sebab anak nak beraya dengan sepupu di sana, jadi saya ikutkan permintaan mereka,” katanya kepada BH Online.



Rita berkata, mereka tetap bahagia, malah meriah walaupun menyambut raya bertiga.

Tetap meriah sambut raya bertiga - Rita
Rita bersederhana dan lebih tertumpu persiapan raya untuk Rayyan dan Arjuna. – Foto IG Hazel Hisham

Katanya, anak tidak rasa tersisih biarpun tidak pernah mendapat peluang bersalaman dengan lelaki yang dipanggil bapa sejak kecil.

“Anak okay sahaja, mereka tak rasa apa-apapun walaupun melihat orang lain bersalaman dengan bapa di pagi raya.

“Mereka tak pernah ada memori pun dengan bapa mereka. Saya pernah tanya Rayyan ingat lagi tak sambut raya dengan bapanya ketika usia dua tahun, tapi dia tak ingat.



“Bagi anak, keluarga mereka adalah saya, mak tok, abang dan adik saya serta sepupu.

“Saya tak pernah nampak pun mereka sedih, bagi dapat balik raya dengan saudara mara di Perlis sudah cukup membuatkan Rayyan dan Arjuna gembira,” katanya.

Berkongsi persiapan raya, Rita lebih gemar sederhana dan persiapan lebih banyak tertumpu kepada dua anaknya.

“Saya tak kisah jika tiada baju baharu sekali pun. Sejak dulu, saya bukan orang yang boros atau suka bermewah.



“Saya lebih suka bersederhana dan gemar menyimpan. Persiapan raya lebih untuk anak, tapi mereka tak suka meminta.

“Paling tidak, saya sediakan dua pasang baju raya setiap seorang,” katanya. – Berita Harian


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading